Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Puad Zarkashi berpandangan usaha menghidupkan semula kerjasama politik antara parti Melayu-Islam wajar dipertimbangkan, namun menegaskan jenama Muafakat Nasional (MN) tidak lagi sesuai digunakan.
Menurut Puad, nama MN telah rosak dan sarat dengan sejarah pahit yang penuh tipu muslihat, sekali gus tidak lagi mencerminkan semangat muafakat yang tulen.
“Timbul desakan supaya dihidupkan semula Muafakat Nasional (MN). Apa salahnya mencuba. Tetapi cari nama lain.
“Tidak salah ambil semangatnya dan tujuan murninya. Buat nama baru agar sejarah pahit yang penuh tipu muslihat dibuang jauh jauh.
“Nama MN sudah rosak, corrupted dan telah dikomersilkan,” katanya dalam satu hantaran di media sosial sambil menambah bahawa nama MN telah disalahgunakan, sehingga menjejaskan kredibiliti gagasan itu sendiri.
Selain soal nama, Puad memberi amaran agar sebarang bentuk kerjasama politik baharu tidak mengulangi budaya lama, termasuk fenomena pemimpin menjadi ahli dalam pelbagai gabungan serentak.
“Tetapi jangan pula setelah dibuat badan baru, di sini dia ahli, di sana dia ahli dan di sinun dia juga ahli.
“Kalau itu berulang lagi maka kita mengulang cerita lama. Main banyak lawang,” katanya.
Menurut Puad, selagi muafakat dibina semata-mata atas asas politik dan perebutan kuasa, usaha penyatuan tidak akan bertahan lama dan hanya mengundang perpecahan.
“Kuasa tetap menjadi punca kita berpecah belah,” katanya.
Sehubungan itu, dia mencadangkan agar pendekatan membina persefahaman yang lebih tulen dan berprinsip diberi keutamaan, bagi mengelakkan episod pengkhianatan politik seperti “tebuk atap” daripada berulang.
Puad turut merujuk insiden politik di Perlis sebagai peringatan bahawa ketiadaan persefahaman yang jelas boleh membawa kepada pengkhianatan dalam kalangan rakan sendiri.
“Lebih baik membina persefahaman agar tebuk atap atas kepala kawan sendiri seperti di Perlis tidak berlaku,” katanya lagi.
