Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin membidas pihak yang mempertikai pendiriannya berhubung krisis politik di Perlis, khususnya selepas dia meminta pemimpin politik memberi penjelasan terhadap dakwaan yang dibuat tanpa disertakan bukti.
Walaupun tidak menyebut mana-mana pihak secara langsung, kenyataan Mohd Asri dipercayai ditujukan kepada pemimpin PAS yang mengkritiknya kerana didakwa mencampuri urusan politik negeri berkenaan.
Mohd Asri mempertahankan pendiriannya sambil mempersoalkan percanggahan sikap segelintir pihak yang sebelum ini menegaskan agama dan politik tidak boleh dipisahkan, namun kini menolak tegurannya atas alasan beliau seorang mufti.
"Apabila saya kata: "Jika buat tuduhan, nyatakan bukti supaya tiada yang menjadi mangsa". Kamu kata: "Mufti cakap agama sahaja, jangan cakap hal politik. Kalau nak cakap, sila masuk bertanding."

"Semalam kamu kata agama dan politik tidak boleh berpisah. Kamu kata: "sesiapa yang memisahkan agama dan politik maka dia menjadi kafir". Maka dalam sejarah kamu, begitu ramai yang telah menjadi mangsa kafir mengkafir atas teori tersebut.
"Hari ini lain pula bunyinya. Kemudian, larangan membuat tuduhan tanpa bukti itukan larangan agama? Sudah berapa kali kamu ubah agama kerana kehendak politik kamu? Apakah agama yang kamu perjuangkan selama ini," tulisnya pada satu hantaran di Facebook.
Sebelum ini, Mohd Asri meminta Presiden PAS Abdul Hadi Awang mendedahkan projek yang didakwa menjadi punca kepada krisis politik di negeri itu.
Pada 26 Dis lalu, Malaysiakini melaporkan isu melibatkan beberapa projek di Perlis antara faktor yang mencetuskan krisis politik sehingga membawa kepada peletakan jawatan Menteri Besar Mohd Shukri Ramli.
Mengulas perkara itu, Abdul Hadi pada satu sidang media di Marang hari ini mendakwa terdapat banyak projek besar di negeri berkenaan yang tidak mematuhi peraturan.
"Projek banyak sangat. Projek tak ikut peraturan pula, salah. Di sebaliknya ada rasuah, di sebaliknya ada macam-macam.
“Dia (Shukri) tak boleh ikut. Saya tak perlu sebutlah siapa dia.
"Jadi bila kuat tekanan, kita terpaksa bertindaklah,” kata Abdul Hadi.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bachok yang juga Setiausaha Politik kepada Abdul Hadi, Syahir Sulaiman tampil menjawab kritikan Mohd Asri terhadap PAS.
Merujuk laporan media mengenai kritikan mufti berkenaan terhadap Abdul Hadi, Syahir mengingatkan Mohd Asri supaya tidak mengungkap perkara yang tidak dinyatakan secara jelas.
"Kepada SS Mufti, dengan penuh hormat, jika berpayung di luar pagar, jangan terkena tempias hujannya.
"Jika meninjau halaman (projek) di pasiran, jangan terkena debu kotorannya. Kita diajar, jangan diungkap perkara yang tidak diungkap," tulisnya.
