Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengesahkan telah meletakkan jawatan sebagai pengerusi PN melalui satu kenyataan rasmi ringkas.
Muhyiddin mengucapkan terima kasih kepada semua pemimpin PN yang menyokongnya sepanjang lima tahun lalu.
“Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada semua barisan kepemimpinan PN dan parti-parti di anggotanya,” kata ahli parlimen Pagoh itu tanpa menyatakan sebab peletakan jawatannya.
Terdahulu, beberapa ahli parlimen Bersatu mengesahkan berita peletakan jawatan Muhyiddin kepada Malaysiakini, antaranya ahli parlimen Bersatu yang menentang arus, Saifuddin Abdullah serta seorang lagi ahli parlimen Bersatu. Kedua-duanya berada di dalam kumpulan WhatsApp ahli parlimen PN tersebut.

Ketua Penerangan PAS Fadhli Shaari — yang juga ahli parlimen Pasir Mas — pula menjelaskan Muhyiddin telah memaklumkan hasratnya untuk meletakkan jawatan sebagai ketua gabungan itu.
Fadhli — yang sebelum ini antara pemimpin yang menyuarakan kemarahan — nyata melembutkan nadanya susulan berita peletakan jawatan Muhyiddin.
“Satu tindakan yang bijak dan tepat oleh Tan Sri dalam situasi PN memerlukan momentum baru menjelang PRU16..
“Tahniah Tan Sri Muhyidin Yasin atas sikap terbuka beliau. Selamat bekerja Pengerusi Perikatan Nasional yang baru,” katanya.

Menurutnya, PAS pasti akan mengemukakan calon untuk menerajui gabungan itu namun tidak semestinya presiden parti Abdul Hadi Awang.
“Tidak semestinya presiden Parti tetapi seorang individu yang diyakini boleh mengembeling kekuatan parti-parti yang ada di bawah Perikatan Nasional.
"Pastinya rombakan akan dilakukan terhadap organisasi Perikatan Nasional bagi memberikan fokus yang lebih kepada gerak kerja selepas ini,” kata Fadhli.
Sebelum ini, PAS pernah mengetengahkan Menteri Besar Terengganu Samsuri Mokhtar — yang juga naib presiden PAS — sebagai calon berpotensi perdana menteri.

Malaysiakini juga sedang berusaha menghubungi pejabat Muhyiddin.
Keputusan itu dibuat ketika ketegangan memuncak antara PAS dan Bersatu, susulan tindakan pemimpin Bersatu di Perlis yang memulakan percubaan rampasan kuasa sehingga menyebabkan PAS kehilangan penguasaan ke atas kerajaan negeri itu.
Sejak itu, pemimpin PAS mengancam sama ada akan meninggalkan PN dan mencari pakatan baru bersama Umno, atau mengambil alih sendiri kepimpinan PN.
Sementara itu, seorang sumber dalaman Bersatu yang juga penyokong tegar Muhyiddin mendakwa sejumlah pemimpin majlis tertinggi parti membantah peletakan jawatan presiden parti itu sebagai pengerusi PN.

Menurut sumber berkenaan, pemimpin majlis tertinggi tersebut berpendapat adalah lebih baik sekiranya PAS meninggalkan PN, yang katanya turut berpotensi mendorong MCA dan MIC menyertai gabungan itu.
PAS merupakan sumber kuasa utama PN. Dari 74 kerusi parlimen yang dimenangi gabungan itu pada pilihan raya umum 2022, 43 dimenangi PAS dan 31 oleh Bersatu.
Tujuh dari kerusi Bersatu itu terletak di kubu kuat PAS di Kelantan dan Terengganu.
[Berita penuh menyusul]

