Dua minggu lalu, Najib Razak memasang harapan terhadap dua perkara; ditempatkan di bawah tahanan rumah dan penamatan hukuman penjara pada Ogos 2026.
Tempoh penjara yang disemak semula bagi sabitan Najib dalam kes SRC International dijadualkan berakhir pada Ogos 2028. Namun, dengan mengambil kira pengurangan satu pertiga atas kelakuan baik, dia berpotensi dibebaskan seawal Ogos tahun depan.
Namun, kedua-dua harapan itu kini seakan berkecai. Perintah tahanan rumah diisytiharkan tidak sah dan dia disabitkan bersalah dalam kes rasuah 1MDB serta dijatuhi hukuman penjara 15 tahun.
Peguam yang ditemui Malaysiakini memberitahu susulan sabitan 1MDB, peluang Najib untuk dibebaskan lebih awal semakin tipis.

Ini kerana dia perlu menjalani hukuman penjara kes 1MDB selepas tamat tempoh pemenjaraan bagi kes SRC.
Peguam Naran Singh berkata memandangkan kedua-duanya kes berasingan, hukuman penjara perlu berjalan secara berturutan, bukan serentak.
“Jadi pada pandangan saya, keputusan itu adil. Mahkamah tepat membuat keputusan sedemikian,” katanya.
Peguam Haniff Khatri Abdulla sependapat, berkata walaupun pihak pembelaan Najib memohon penangguhan pelaksanaan hukuman bagi kes 1MDB namun mahkamah berkemungkinan besar menolaknya.

Peguam Najib tidak memohon penangguhan pelaksanaan hukuman pada Jumaat lalu.
Namun, menurut Haniff, Najib masih boleh memohon penangguhan pelaksanaan hukuman penjara bagi kes 1MDB selepas tamat hukuman penjara kes SRC International.
Sebagai alternatif, dia juga boleh memohon penangguhan sekiranya mahkamah lebih atas membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung permohonannya untuk menjalani hukuman penjara di rumah.
“Andaiannya, berasaskan kejayaan di Mahkamah Rayuan untuk menukar pemenjaraan dari Kajang kepada rumah, maka dia boleh memfailkan (permohonan penangguhan) pada waktu itu.

“Dia juga boleh memfailkan permohonan penangguhan selepas selesai menjalani hukuman penjara SRC. Ini kerana dia masih mempunyai hak merayu dalam kes 1MDB (yang) belum selesai,” kata Haniff.
Penjara 15 tahun, denda RM11.39 bilion
Najib didapati bersalah pada 26 Dis bagi semua empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB.
Bagi sabitan salah guna kuasa, Hakim Collin Lawrence Sequerah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun bagi setiap pertuduhan serta denda RM303.15 juta bagi pertuduhan pertama, RM454.5 juta bagi pertuduhan kedua, RM10.41 bilion bagi pertuduhan ketiga dan RM222.85 juta bagi pertuduhan keempat — keseluruhan RM11.39 bilion.
Namun, hakim mengarahkan hukuman penjara dijalani secara serentak, bermakna Najib hanya perlu menjalani 15 tahun penjara keseluruhan.
Mahkamah turut memerintahkan, sekiranya denda gagal dibayar, Najib akan berdepan hukuman penjara tambahan 10 tahun.
Bagi kes pengubahan wang haram, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan tanpa denda, namun memerintahkan Najib membayar RM2.08 bilion lagi sebagai jumlah boleh dipulihkan di bawah Seksyen 55(2) Akta SPRM 2009, yang membawa liabiliti penjara 30 bulan sekiranya gagal membayar jumlah tersebut.
Tempoh hukuman penjara itu hanya bermula selepas Najib menamatkan pemenjaraan semasa bagi kes SRC International.
Peguam Najib, Shafee Abdullah berkata pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 29 Dis, dengan alasan terdapat pelbagai “kesilapan besar” dalam penghakiman.
Agong boleh guna Perkara 130
Haniff turut memberitahu Malaysiakini bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh memanggil Lembaga Pengampunan untuk membincangkan perkembangan terkini.
“Memandangkan isu yang tertumpu pada perintah diraja Yang di-Pertuan Agong ke-16 berkaitan tahanan rumah, Seri Paduka Baginda boleh memanggil mesyuarat Lembaga Pengampunan dan mendapatkan nasihat mereka mengenai perkara itu, serta perkara yang tidak dimasukkan dalam permohonan pengampunan oleh banduan,” kata peguam berkenaan.
Ini termasuk perbincangan mengenai sabitan Najib dalam kes 1MDB. Sebelum ini, Umno memohon supaya Najib diberikan pengampunan penuh selepas hukuman penjara dan denda kes SRC bekas presiden parti itu dikurangkan.
Selain itu, kata Haniff, Agong juga boleh mendapatkan penjelasan daripada mahkamah.
“Seri Paduka Baginda juga boleh menggunakan Perkara 130 Perlembagaan Persekutuan untuk meminta mahkamah memberikan penjelasan berkaitan hal pengampunan supaya isu seperti tahanan rumah Najib tidak berulang pada masa depan,” katanya.
Perkara 130 Perlembagaan memberi Mahkamah Persekutuan bidang kuasa nasihat, yang membolehkan Yang di-Pertuan Agong merujuk sebarang persoalan mengenai kesan sesuatu peruntukan perlembagaan kepada mahkamah untuk mendapatkan pandangan.
Langkah ini bertujuan menyelesaikan kekaburan undang-undang atau perbezaan tafsiran berkaitan perlembagaan, sekali gus membolehkan Yang di-Pertuan Agong memperoleh pandangan mahkamah tertinggi mengenai isu perlembagaan.
