Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden menjelaskan segala pandangannya sebelum ini tidak mengurangkan rasa hormat dan sanjungan kepada bekas pengerusi PN Muhyiddin Yassin.
"Lebih-lebih lagi tan sri sebagai abah, orang yang lebih berusia dan berpengalaman dari saya.
"Saya memohon maaf andai ada kata-kata yang menyebabkan tan sri rasa tidak senang atau tersinggung.
"Tiada langsung isu peribadi, melainkan hanya menyuarakan ketegasan untuk kebaikan kita bersama di dalam sebuah kapal.

"Walau nakhoda kapal berganti, kapal ini mesti terus belayar menempuh ombak dan badai, hingga sampai ke destinasi," katanya pada hantaran di media sosial.
Pagi ini Muhyiddin mengesahkan melepaskan jawatan tertinggi PN itu.
Sementara itu, Afnan juga berkata Muhyiddin berjiwa besar dan tindakannya meletak jawatan pengerusi PN itu sangat dihormati.
"Mewakili seluruh jentera Pemuda PN dan Pemuda PAS, kami ucapkan terima kasih tan sri.

"Jasamu kami kenang sampai akhir hayat," katanya lagi.
Semalam, Afnan menegaskan PAS wajar mengambil alih jawatan pengerusi PN dan berhujah krisis politik Perlis membuktikan Bersatu tidak layak memimpin gabungan itu.
Namun begitu, Afnan tidak menamakan Bersatu secara langsung, sekadar merujuk perihal seorang kawan "yang lemah dan khianat."
“Kawan yang tidak mampu mengawal anak buah adalah kawan yang lemah. Kawan yang menjatuhkan kawan, ini kawan yang khianat.

"Dengan apa yang berlaku di Perlis ini, layak sangatlah PAS mengambil-alih mengetuai PN.
"PAS take-over (ambil alih) PN. Presiden PAS (Abdul Hadi Awang) sebagai pengerusi PN (gantikan Muhyiddin Yassin)…
"Yang khianat tak boleh dibuat kawan. Yang lemah tak boleh jadi ketua. Yang khianat, sila berambus. Yang lemah, sila turun,” katanya melalui hantaran di media sosial.
Dewan Undangan Negeri Perlis mempunyai 15 ahli, termasuk enam daripada PAS dan lima daripada Bersatu.

Lapan ahli dewan Perlis — tiga daripada PAS dan kesemua lima wakil Bersatu — cuba menyingkirkan Mohd Shukri Ramli daripada PAS sebagai menteri besar negeri itu. Shukri kemudiannya meletak jawatan dengan alasan kesihatan di tengah-tengah percubaan rampasan kuasa tersebut, dan digantikan oleh Abu Bakar Hamzah daripada Bersatu.
Kepimpinan pusat Bersatu menafikan penglibatan dalam sebarang usaha untuk menukar kerajaan negeri Perlis.
Namun begitu, Afnan membandingkan tindakan disiplin PAS terhadap ahlinya yang terlibat dalam cubaan rampasan kuasa itu dengan ketiadaan tindakan daripada Bersatu, yang menurutnya membawa maksud sokongan tersirat.
Tiga bekas ahli dewan daripada PAS itu ialah Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong), dan Ridzuan Hashim (Guar Sanji), yang keahlian parti mereka telah ditamatkan.
Tindakan itu turut mencetuskan penguatkuasaan undang-undang antilompat parti peringkat negeri yang mengosongkan kerusi dewan mereka, sekali gus membuka laluan kepada pilihan raya kecil.
Sementara itu, lima Adun daripada Bersatu pula ialah Abu Bakar (Kuala Perlis), Izizam Ibrahim (Titi Tinggi), Marzita Mansor (Sena), Megat Hashirat Hassan (Pauh), dan Wan Zikri Afthar Ishak (Tambun Tulang).
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menjelaskan pada Sabtu bahawa parti itu tidak mengarahkan mereka menandatangani sebarang akuan berkanun dan akan memanggil mereka untuk memberi penjelasan.
Dia juga berkata Bersatu hanya menamakan calon menteri besar Perlis selepas menerima arahan berbuat demikian daripada pihak istana.
