Sebuah kumpulan alam sekitar memohon semakan kehakiman berhubung keputusan yang didakwa bercanggah dibuat oleh dua kementerian berkaitan pengiklanan melibatkan bahan api fosil.
Kumpulan pemikir RimbaWatch berkata tindakan undang-undang itu yang difailkan minggu lalu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui firma guamannya Thurairaj T Kumar dan Associates bertujuan menguatkuasakan kewajipan berkanun kerajaan untuk menyiasat dan menangani pengiklanan berkaitan bahan api fosil yang didakwa merupakan “greenwashing.”
Greenwashing merujuk kepada amalan syarikat atau institusi yang menggambarkan produk, dasar atau tindakan mereka sebagai mesra alam — lazimnya melalui dakwaan kabur, pendedahan terpilih atau penjenamaan mengelirukan — tanpa melaksanakan usaha sebenar untuk mengurangkan kesan alam sekitar.
Menyifatkan permohonan semakan kehakiman itu sebagai “kes litigasi iklim pertama seumpamanya di Malaysia”, RimbaWatch menyasarkan tindakan terhadap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).
RimbaWatch berkata pihaknya telah memfailkan aduan rasmi kepada kedua-dua kementerian melalui saluran berkaitan pada 20 Sept.
Aduan itu berkaitan pemasaran semasa sebuah syarikat bahan api fosil terhadap satu produk, yang terhasil daripada bahan api fosil, sebagai “neutral karbon” — satu dakwaan yang menurut RimbaWatch mengelirukan.
“Kami memfailkan aduan kepada kementerian-kementerian ini kerana KPDN mewakili agensi yang berkhidmat kepada menteri yang dilantik untuk melindungi pengguna manakala NRES mewakili agensi yang berkhidmat kepada menteri yang dilantik untuk mencegah pencemaran dan melindungi alam sekitar.
“Kami mencadangkan sekiranya dakwaan ini (yang dibuat oleh syarikat bahan api fosil) mengelirukan seperti yang kami percaya, ia boleh menjejaskan kepentingan perlindungan pengguna dan perlindungan iklim,” kata kumpulan itu pada satu kenyataan hari ini.
Namun, pada 30 Sept jawapan KPDN terhadap laporan tersebut menjelaskan aduan itu berada di luar bidang kuasa kementerian berkenaan.
Kementerian yang diterajui menterinya Armizan Ali itu turut menasihatkan RimbaWatch supaya membuat aduan kepada NRES.
Pada hari sama, NRES membalas aduan awal RimbaWatch dengan alasan serupa seperti KPDN, malah mengarahkan kumpulan itu kembali merujuk kepada kementerian berkenaan.
“Kami percaya keputusan kedua-dua kementerian yang menyatakan aduan sedemikian berada di luar bidang kuasa mereka adalah tidak tepat,” kata RimbaWatch.
“Kesan praktikal keputusan ini menunjukkan seolah-olah tiada agensi kerajaan yang diberi kuasa untuk menyiasat dakwaan pengiklanan atau pemasaran berkaitan perlindungan iklim yang berpotensi mengelirukan.
“Oleh itu, kami telah memfailkan semakan kehakiman untuk mencabar kedua-dua keputusan ini,” tambahnya.
RimbaWatch memaklumkan dalam dokumen berkaitan tuntutan tersebut, pihaknya bergantung sebahagiannya pada Pendapat Nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai perubahan iklim bertarikh 23 Julai.
Menurut kumpulan itu, pendapat nasihat ICJ menetapkan piawaian penelitian wajar yang "ketat" diperlukan dari negara dalam melindungi sistem iklim.
Ia turut menuntut negara mewujudkan “sistem nasional, termasuk perundangan, prosedur pentadbiran dan mekanisme penguatkuasaan yang diperlukan untuk mengawal selia aktiviti berkenaan”, serta melaksanakan “kewaspadaan mencukupi” bagi memastikan sistem tersebut berfungsi dengan berkesan.
“Sehubungan itu, kami percaya keengganan untuk menyiasat dakwaan 'greenwashing' yang berasas mewakili kegagalan melaksanakan ‘kewaspadaan mencukupi’ seperti yang dituntut di bawah piawaian ini.
“ICJ menegaskan penelitian wajar memerlukan ‘bukan sahaja penggubalan peraturan dan langkah yang sesuai, tetapi juga tahap kewaspadaan tertentu dalam penguatkuasaannya’, memandangkan tahap keseriusan ancaman perubahan iklim,” tegas RimbaWatch.
Kumpulan itu turut menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan yang dirasakan dalam amalan 'greenwashing' korporat di seluruh Asia Tenggara.
Menurutnya, sebuah Kumpulan Pakar Peringkat Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengakui bahawa aktiviti sedemikian menggambarkan syarikat atau entiti lain seolah-olah melakukan lebih banyak usaha melindungi alam sekitar berbanding realiti sebenar.
Keadaan itu seterusnya mempromosikan penyelesaian palsu terhadap perubahan iklim, sekali gus melengahkan tindakan iklim yang konkrit dan berwibawa, kata RimbaWatch.
“Malaysia, tidak seperti rakan serantau seperti Singapura, masih belum membangunkan garis panduan kawal selia berkaitan 'greenwashing', malah belum bertindak secara proaktif untuk menangani dakwaan mengelirukan yang sedang dibuat.
“Kami berharap tindakan (undang-undang) ini akan menjadi isyarat peringatan kepada pihak berkuasa Malaysia untuk menangani 'greenwashing', sekali gus meningkatkan penyelarasan dasar antara tindakan korporat dengan keutamaan iklim dan pembangunan nasional Malaysia,” tambahnya.
