Ketika dagangan mata wang kripto semakin mendapat sambutan di Malaysia, badan penguat kuasa melihat dengan serius bagaimana kemudahan itu terbuka kepada penyalahgunaan oleh penjenayah.
Pihak berkuasa memberi amaran, sifat kerahsiaan tanpa nama yang ditawarkan platform aset digital menjadikan usaha membanteras kegiatan jenayah lebih mencabar, khususnya dalam siasatan pengubahan wang haram dan pengesanan pergerakan hasil jenayah.
“Penggunaan kaedah ini lebih sukar dikesan pihak berkuasa kerana ia tidak melibatkan mana-mana agensi perkhidmatan kewangan yang berdaftar di Malaysia dan tertakluk kepada kewajipan pelaporan kepada pihak berkuasa Malaysia,” kata SPRM melalui e-mel kepada Malaysiakini.
“Selain itu, penggunaan kaedah mata wang kripto berkembang dengan sangat pantas dari semasa ke semasa, menjadikannya semakin kompleks untuk dikesan dan dikuatkuasakan dari sudut kawal selia.

“Pemindahan mata wang kripto dari satu dompet ke dompet lain boleh dilakukan dalam masa hanya beberapa minit, semudah menggunakan telefon bimbit.”
SPRM menambah, pihaknya melihat lebih banyak kes pengubahan wang haram melibatkan rasuah dilakukan melalui platform aset digital sejak 2020.
Badan penguat kuasa dan pengawal selia dihubungi berhubung peraturan mata wang kripto Malaysia sebagai sebahagian daripada projek kewartawanan penyiasatan global yang diterajui Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ).
Projek pelaporan kerjasama itu, dikenali sebagai “The Coin Laundry”, menerbitkan laporannya bulan lalu, mendedahkan bagaimana syarikat mata wang kripto membolehkan kewujudan ekonomi bayangan yang meraih keuntungan besar daripada jenayah.
Gergasi kripto didakwa memindahkan berbilion berkait pengubahan wang haram dan pengedar dadah.

Dalam satu kes berprofil tinggi baru-baru ini, SPRM mendapati seorang pegawai kanan polis antimaksiat di Kuala Lumpur gagal mengisytiharkan harta, termasuk mata wang kripto bernilai RM80,000 serta lebih 700 gram emas digital.
“Kami menjangka trend ini akan terus meningkat pada masa depan,” amaran agensi itu.
SPRM turut mencadangkan peningkatan tanggungjawab pelaporan ke atas platform kripto.
“Kami berpandangan perlu ada penggubalan undang-undang yang mewajibkan platform dan pengendali mata wang kripto di negara ini melaporkan kepada pihak berkuasa apabila wujud asas untuk mengesyaki Laporan Transaksi Mencurigakan (STR) atau Laporan Transaksi Tunai (CTR) di platform mereka, sepertimana amalan yang diguna pakai oleh Bank Negara Malaysia bagi transaksi kewangan konvensional.”
Bergelut dengan peningkatan penipuan kripto
Suruhanjaya Sekuriti (SC) dalam Laporan Tahunan 2023 memaklumkan pihaknya mengesan modus operandi baru:
“Penggunaan e-dompet dan mata wang kripto sebagai kaedah pembayaran melibatkan penipuan pelaburan, berbanding akaun keldai bank yang digunakan sebelum ini.”

Menurut SC, pendekatan itu mungkin bertujuan mengelak pengesanan dan campur tangan mudah oleh agensi penguat kuasa.
Polis turut melihat peningkatan kes jenayah melibatkan transaksi mata wang kripto, khususnya berkaitan penipuan.
Statistik yang dihimpunkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman menunjukkan peningkatan ketara kes penipuan melibatkan mata wang kripto antara 2023 hingga Oktober 2025, dengan kerugian melebihi RM375 juta.
Dalam tempoh sama, jabatan itu turut merekodkan lapan kes lain penipuan bersemuka yang melibatkan transaksi mata wang kripto, dengan kerugian melebihi RM32.5 juta.

Pengarah JSJK Rusdi Isa (gambar atas) berkata mata wang kripto menimbulkan cabaran besar kepada penyiasat disebabkan empat faktor:
Transaksi mata wang kripto bersifat pseudonim, hanya memaparkan kod dompet, bukan identiti pemilik.
Transaksi tidak melalui institusi kewangan tempatan.
Penjenayah lazimnya menggunakan platform pertukaran mata wang kripto luar negara dan tidak berlesen.
Perbezaan undang-undang perlindungan data serta isu bidang kuasa menyukarkan pengenalpastian pemilik sebenar dompet kripto dan penjejakan aliran kewangan merentas sempadan.
“Faktor-faktor ini menyukarkan pihak berkuasa mengenal pasti pengguna kerana platform mata wang kripto yang berasaskan luar negara tidak tertakluk kepada undang-undang tempatan, malah ada yang enggan bekerjasama.
“Sifat terdesentralisasi mata wang kripto juga menyukarkan penjejakan rantaian transaksi, manakala pemindahan dana merentas sempadan yang pantas membolehkan penjenayah menyembunyikan aliran wang dengan lebih mudah,” kata Rusdi.
Walaupun undang-undang sedia ada, termasuk Kanun Keseksaan, memberi kuasa undang-undang kepada polis untuk menangani jenayah berkaitan kripto seperti penipuan, pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan namun dia menegaskan peruntukan tersebut perlu dikemas kini dan diperkukuh.
Undang-undang aset digital
Mata wang kripto tidak diiktiraf sebagai wang sah di Malaysia namun pemilikan dan dagangan dibenarkan melalui bursa aset digital (DAX) yang diluluskan SC.
Pindaan kepada Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan pada 2019 menetapkan mata wang digital dan token digital sebagai sekuriti, sekali gus memberi kuasa kepada badan berkanun itu mengawal selia pasaran berkaitan. Setakat 3 Dis 2025, SC hanya mendaftarkan enam pengendali pasaran DAX di Malaysia.
Namun, walaupun pengendali berlesen perlu melalui pemeriksaan ketat, platform mata wang kripto tidak berdaftar masih boleh diakses dan membawa risiko, khususnya berkaitan penipuan, menurut Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).
“Antara isu utama yang dikenal pasti termasuk sifat teknologi rantaian blok yang tanpa nama dan sukar dikesan, yang seterusnya memudahkan penipu melarikan wang tanpa meninggalkan jejak jelas.
“Selain itu, kewujudan platform kripto tidak berdaftar yang berfungsi sebagai medium penipuan tanpa pengawasan ketat pihak berkuasa meningkatkan lagi risiko.
“Peraturan siber dan undang-undang keselamatan berkaitan transaksi kripto juga masih memerlukan kemas kini menyeluruh supaya lebih jelas, berkesan dan relevan dalam usaha menjejak transaksi haram serta pembelian data berkaitan,” kata NFCC, badan pusat yang menyelaras operasi bersama agensi penguat kuasa berkaitan jenayah kewangan.
Menurut pusat itu, SC sedang dalam proses memperkenalkan beberapa pindaan kepada undang-undang sedia ada bagi memastikan kekal relevan dengan kemajuan teknologi.
Antaranya termasuk peruntukan membenarkan rakaman kenyataan melalui panggilan video, undang-undang untuk membolehkan penyitaan dan akses kepada komputer, program, data, rekod atau akaun, serta kuasa meminta kata laluan atau kod penyahsulitan bagi mentafsir data.
“Ia juga mencadangkan pindaan undang-undang berkaitan untuk meningkatkan kadar hukuman agar setimpal dengan tahap keseriusan jenayah melibatkan aset digital,” tambah NFCC.
