Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bubarkan saja PN, PAS lebih baik cari jajaran baru, kata Puad
Diterbitkan:  Dec 30, 2025 12:01 PM
Dikemaskini: 4:05 AM

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Puad Zarkashi berpandangan Perikatan Nasional (PN) wajar dibubarkan susulan peletakan jawatan Muhyiddin Yassin sebagai pengerusinya, yang disifatkan sebagai bukti kegagalan dan ketidakrelevanan gabungan itu.

Menurut Puad, langkah Muhyiddin berundur menunjukkan presiden Bersatu itu sendiri sedar PN tidak lagi mempunyai masa depan, termasuk kegagalan mendapatkan kepercayaan rakan sekutunya, khususnya PAS.

“Muhyiddin letak jawatan Pengerusi Perikatan Nasional. Maka elok bubar sahaja PN. Ini peluang terbaik untuk tamatkan gabungan yang gagal dan tidak lagi relevan.

“Tidak perlulah PAS fikir siapa calon sesuai untuk ambil alih. Lebih baik PAS cari jajaran baru,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.

Pemimpin Umno itu turut mengaitkan kegagalan PN dengan budaya pengkhianatan politik, termasuk amalan “tebuk atap” dan “tikam belakang” yang katanya, kemuncak kegagalan PN adalah apa yang berlaku di Perlis minggu lalu.

Ia susulan beberapa Adun PAS dan Bersatu menyerahkan akuan bersumpah (SD) kepada Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang menyatakan mereka tidak lagi menyokong kepemimpinan Adun Sanglang, Mohd Shukri Ramli sebagai menteri besar negeri itu.

Tiga Adun PAS itu ialah Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji), sebelum keahlian mereka daripada PAS digugurkan.

Kemelut itu membawa kepada peletakan jawatan Mohd Shukri sebagai menteri besar pada Khamis lalu secara sukarela atas alasan kesihatan.

Raja Perlis kemudian berkenan melantik Adun Kuala Perlis daripada Bersatu, Abu Bakar Hamzah sebagai menteri besar yang baharu.

Puad mendakwa reputasi PN kini tercemar teruk, termasuk kekalahan besar gabungan itu di Sabah, yang menurutnya membuktikan gabungan berkenaan sudah kehilangan sokongan rakyat.

“Nama pun dah busuk. Sebab itu total loss di Sabah,” katanya merujuk kepada prestasi buruk PN yang hanya mampu meraih satu kerusi DUN Sabah pada pilihan raya kecil, daripada 42 yang ditandinginya baru-baru ini.

Sementara itu dalam satu hantaran berasingan, Puad mendakwa Muhyiddin dijangka akan meletak jawatannya sebagai presiden Bersatu, tidak lama lagi.

“Dia sudah menghidu terlalu banyak pertemuan hotel sana, hotel sini, langkah sana, langkah sini. Cuma kali ini belum ada nama sesuai kepada langkah (move) tersebut.

“Tetapi Muhyiddin sudah tahu siapa orang kuat dia yang telah cross the bridge. Kalau cuma empat sahaja lagi ahli parlimen yang masih setia dengan dia, maka bagaimana boleh bertahan sebagai presiden?

“Lebih baik letak semua jawatan sebelum kena humiliated. Itulah karma. Turun PM sudah jadi ‘turun Muhyiddin’,” sindirnya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS