Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS enggan sertai exco Perlis, sedia terajui PN
Diterbitkan:  Dec 30, 2025 12:43 PM
Dikemaskini: 5:07 AM

PAS mengumumkan pendirian untuk tidak menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) Perlis yang bakal dibentuk di bawah kepimpinan Menteri Besar Bersayu yang baru Abu Bakar Hamzah.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan berkata, keputusan itu diambil sebagai tanda solidariti susulan peletakan jawatan mantan Menteri Besar sebelum ini Mohd Shukri Ramli.

"PAS tidak akan menganggotai majlis exco yang akan dibentuk oleh menteri besar Perlis yang baru.

"Semua anggota exco sedia ada daripada PAS akan melepaskan jawatan masing-masing sebagai tanda solidariti dan seiring dengan peletakan jawatan mantan menteri besar yang lepas," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Namun, Ahli Parlimen Kota Bahru itu berkata meskipun menarik diri daripada barisan pentadbiran negeri, PAS tetap komited untuk mengekalkan kelangsungan kerajaan negeri sedia ada.

Jelasnya, sokongan itu diberikan selaras dengan mandat yang telah diperolehi daripada rakyat pada PRU15 yang lalu.

Katanya, PAS juga akan terus menghormati lunas undang-undang dan prinsip demokrasi serta konsep Raja Berperlembagaan dan turut menyatakan ketaatan dan menghormati kebijaksanaan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dalam mengemudi kemaslahatan negeri dan rakyat.

Keputusan itu dibuat ketika ketegangan memuncak antara PAS dan Bersatu, susulan tindakan pemimpin Bersatu di Perlis yang memulakan percubaan rampasan kuasa sehingga menyebabkan PAS kehilangan penguasaan ke atas kerajaan negeri itu.

Lapan Adun sebelum ini telah mengemukakan akuan bersumpah (SD) kepada Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bagi mengisytiharkan hilang keyakinan terhadap Mohd Shukri.

Mohd Shukri, yang juga merupakan Adun Sanglang, mengumumkan peletakan jawatannya sebagai menteri besar Perlis pada 25 Dis lalu atas alasan kesihatan.

Susulan itu, PAS kemudian memaklumkan keanggotaan ketiga-tiga Adun berkenaan - Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji) - terhenti serta-merta.

Sejak itu, pemimpin PAS mengancam sama ada akan meninggalkan PN dan mencari pakatan baru bersama Umno, atau mengambil alih sendiri kepimpinan PN.

PAS sedia terajui PN

Sementara itu, dalam kenyataan yang sama Takiyuddin memaklumkan bahawa PAS bersedia untuk menerajui PN susulan peletakan jawatan Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN, berkuat kuasa 1 Januari ini.

Takiyuddin, berkata hasrat itu bertujuan memperkasa organisasi dan persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

"PAS menyeru semua pihak supaya bermuhasabah dan mengambil iktibar atas apa yang berlaku dan seterusnya mengambil segala langkah bagi memperkukuh lagi kepercayaan rakyat terhadap PN," katanya .

Terdahulu, Muhyiddin secara rasmi mengumumkan peletakan jawatannya sebagai pengerusi gabungan itu.

Selepas lima tahun memimpin PN, bekas perdana menteri itu turut melahirkan penghargaan kepada semua kepimpinan PN atas sokongan kepadanya sepanjang memimpin gabungan tersebut.

Muhyiddin memegang jawatan itu sejak 7 Ogos 2020, iaitu tarikh PN didaftarkan secara rasmi.

"Saya membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari 2026,” katanya.

Selain Bersatu, parti utama yang berada dalam gabungan PN adalah PAS dan Gerakan.

Sebelum ini, wujud beberapa desakan daripada PAS termasuk oleh ketua pemudanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden, yang mahu jawatan pengerusi PN diberi kepada parti mereka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS