Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dengan satu mesej WhatsApp, Muhyiddin gagalkan cita-cita MN

Semalam, buat seketika, keadaan dilihat seolah-olah menyokong kebangkitan semula Muafakat Nasional (MN) serta penyatuan PAS dan Umno.

Pemimpin Umno masih marah dengan tindakan DAP meraikan keputusan mahkamah untuk Najib Razak kekal di penjara, menyebabkan Ketua Pemuda Umno Akmal Saleh mendesak agar parti keramat Melayu itu keluar daripada Kerajaan Perpaduan dan menghidupkan semula MN.

Dalam masa yang sama, ketegangan memuncak dalam Perikatan Nasional (PN), selepas perebutan kuasa di negeri paling kecil di negara ini, Perlis menyebabkan PAS berasa dikhianati oleh Bersatu.

Tindakan Bersatu menyingkirkan PAS daripada jawatan menteri besar mendorong pemimpin PAS menggesa parti itu bergerak secara bersendirian, dengan sebahagian mereka turut menyeru agar MN dihidupkan semula.

Namun, pagi ini segalanya berubah.

Dengan hanya satu mesej WhatsApp, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menenangkan PAS, memberi nafas baru kepada PN dan pada masa yang sama mengecewakan Umno.

“Salam. Untuk makluman semua, saya telah membuat keputusan untuk meletak jawatan sebagai pengerusi PN  mulai 1 Jan 2026. Surat rasmi akan saya susuli dalam tempoh yang segera. 

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua kepimpinan PN  yang telah memberi sepenuh sokongan kepada saya,” kata Muhyiddin.

Pemimpin PAS yang sebelum ini meniupkan api ketegangan segera meredakannya selepas Muhyiddin mengumumkan dia akan meletakkan jawatan sebagai pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari.

Semalam, anggota parlimen Arau daripada PAS Shahidan Kassim yang juga ketua PN Perlis berkata MN adalah penyelesaian kepada masalah parti itu.

Bagaimanapun, hari ini, Shahidan memohon maaf kepada Muhyiddin dan memberi penghormatan kepada kepimpinan bekas perdana menteri itu, sambil berkata ia memainkan peranan penting dalam kejayaan besar PN pada pilihan raya umum lalu.

“Kami memohon maaf atas apa-apa kesalahan,” katanya.

Begitu juga Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden, yang turut memohon maaf kepada pengerusi PN yang bakal berundur itu.

“Saya memohon maaf andai ada kata-kata yang menyebabkan Tan Sri rasa tidak senang atau tersinggung.

"Tiada langsung isu peribadi, melainkan hanya menyuarakan ketegasan untuk kebaikan kita bersama di dalam sebuah kapal.

“Walau nakhoda kapal berganti, kapal ini mesti terus belayar menempuh ombak dan badai, hingga sampai ke destinasi," katanya pada hantaran di media sosial.

Afnan Hamimi Taib

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata parti itu kini akan mengekalkan keharmonian di Perlis dan menyokong kerajaan baru pimpinan Bersatu, namun tidak akan memegang sebarang jawatan exco.

Dengan pengunduran Muhyiddin sebagai pengerusi PN, laluan terbuka untuk PAS merealisasikan cita-citanya memimpin gabungan itu.

Jika PAS mengambil alih kepimpinan PN, maka ia tidak lagi memerlukan Umno atau MN.

Tiada sebab lagi untuk MN, kata penganalisis

Penganalisis politik Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bersetuju, dengan mengatakan perbincangan mengenai MN berkemungkinan satu langkah strategik oleh PAS.

“Dengan Muhyiddin tidak lagi menjadi pengerusi PN, PAS boleh mengambil alih tampuk kepimpinan PN dan dengan itu tiada sebab untuk mereka bergabung dengan Umno dalam MN.

“Saya fikir yang lebih munasabah ialah PAS menggunakan perbincangan mengenai MN ini sebagai leverage terhadap Bersatu dalam PN,” katanya kepada Malaysiakini.

Syaza Shukri

PAS sudah pun menjadi sumber kuasa utama PN.

Daripada 74 kerusi yang dimenangi gabungan itu dalam pilihan raya umum 2022, PAS memenangi 43 kerusi manakala Bersatu 31.

Tujuh daripada kerusi Bersatu itu berada di kubu kuat PAS, iaitu Kelantan dan Terengganu.

Ketua Penerangan PAS Fadhli Shaari dan Takiyuddin kedua-duanya memberi isyarat bahawa PAS berhasrat memimpin PN.

Fadhli turut melontarkan idea bahawa pengerusi PN yang baru mungkin seorang lagi pemimpin PAS dan bukannya presiden parti, Abdul Hadi Awang.

Samsuri calon PM PAS

PAS sebelum ini pernah mencadangkan Menteri Besar Terengganu Samsuri Mokhtar, sebagai calon perdana menteri, dan jawatan sebagai ketua PN akan meletakkannya pada kedudukan untuk mencabar Putrajaya.

Sebahagian pemimpin Bersatu yang selari dengan Muhyiddin mungkin cuba menyukarkan usaha PAS mengambil alih kepimpinan PN.

Namun, ini sebenarnya akan merugikan mereka.

Syaza berkata secara ringkas bahawa PAS tidak memerlukan Bersatu sebanyak mana Bersatu memerlukan PAS.

“PAS pun tidak perlu keluar PN. Mereka hanya perlu menjauhkan diri dan itu sudah cukup untuk menimbulkan masalah kepada Bersatu.

“PAS boleh memainkan naratif bahawa Bersatu gilakan kuasa, sementara mereka bekerja untuk rakyat,” katanya.

Bagaimanapun, Syaza berkata tidak mustahil PAS dan Bersatu mencapai persefahaman dengan Bersatu meletakkan seorang pemimpin yang boleh diterima PAS di puncak PN, manakala PAS menentukan hala tuju politik gabungan itu.

PAS sebelum ini pernah didakwa menyokong usaha meletakkan Hamzah Zainudin sebagai presiden Bersatu bagi menggantikan Muhyiddin.

Kepimpinan parti itu menafikan dakwaan tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS