Polemik politik yang berlaku di Perlis kali ini lebih menarik apabila melibatkan institusi agama dan bukan sahaja orang politik dan badan kehakiman seperti sebelum ini. Kecelaruan dan kelemahan pentadbiran PAS berkaitan kedudukan MB bukan kali pertama, tetapi pernah berlaku sebelum ini iaitu di Kelantan tahun 1977 dan Perak 2009.
Apabila Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin menegur PAS untuk menunjukkan bukti tentang projek yang dikatakan terlibat dengan rasuah, maka melentinglah pimpinan PAS. Lebih menyedihkan ayat yang digunakan inter-alia “mufti jaga urusan mufti”.
Serangan terhadap Mohd Asri ini bukan dibuat atas prinsip Islam, kerana Islam memerintahkan umatnya untuk mengkaji kebenaran sesuatu maklumat (tabayyun) sesuai dengan firman Allah surah al-Hujarat, ayat enam.
Tetapi, serangan tersebut bertitik tolak daripada emosi ahli yang taksub kepada pemimpin kerana yang dipersoalkan itu datang dari mulut presiden PAS, walaupun tabayyun itu juga urusan agama.
PAS tidak harus berlagak sombong dengan berpendirian bahawa bicara atau perjuangan Islam ini hanya milik mereka. Sesungguhnya bicara agama dan perjuangan Islam itu luas dan tidak hanya terhad milik PAS sahaja.
Apatah lagi, sistem pentadbiran negara ini meletakkan kuasa agama Islam kepada negeri (Senarai II Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan), yangsemua 14 negeri di Malaysia menubuhkan jabatan mufti untuk memberikan nasihat dan pandangan berkaitan hukum Islam.
Oleh kerana tuduhan projek dikaitkan dengan rasuah berlaku ketika mantan MB Perlis itu menjawat jawatan MB, maka ia berkaitan kerja rasmi beliau yang mana jabatan mufti adalah sebahagian daripada pentadbiran kerajaan negeri Perlis.
Justeru, dari sudut disiplin pentadbiran kerajaan negeri, Mohd Asri yang merupakan ketua di jabatan mufti berhak untuk bertanyakan tentang bukti yang ada untuk menyokong dakwaan yang dibuat.

Dari sudut prinsip undang-undang, tuduhan yang dibuat tanpa bukti adalah tuduhan liar semata-mata dan boleh membawa kepada fitnah. Sebagai parti yang berimejkan Islam, seharusnya PAS mengelak daripada terlibat dengan unsur-unsur fitnah dalam bicara mereka.
Pertelingkahan yang berlaku antara Mohd Asri dan PAS ini menunjukkan sikap mereka yang tidak menghormati sistem pentadbiran dan sentiasa menganggap suci (holier than thou) sedangkan Allah menyuruh kita untuk taat kepada Allah, Rasul dan pemerintah (surah An-Nisa:59).
Jika perkara semudah inipun PAS tidak boleh faham, PAS memang tidak sesuai untuk menjadi pentadbir, baik di peringkat negeri mahupun persekutuan.
FAIZ FADZIL ialah setiausaha agung Amanah.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
