Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dilihat menyindir kemelut yang melanda parti pembangkang apabila menyatakan dia bersyukur kerana tiada “sabotaj” dalam kerajaan Madani.
"Saya bersyukur, alhamdulilah kerana muafakat kerajaan perpaduan madani itu lebih mantap, lebih ikhlas dan tak ada usaha sabotaj, khianat seperti mana berlaku di kalangan rakan-rakan lain,” katanya dalam satu sidang media yang disiarkan secara langsung dari Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya petang ini.
Terdahulu, bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari.
Keputusan itu dibuat ketika ketegangan memuncak antara PAS dan Bersatu, susulan tindakan pemimpin Bersatu di Perlis mengemukakan akuan bersumpah bagi menyingkirkan Menteri Besar dari PAS, Mohd Shukri Ramli. Langkah itu menyaksikan PAS hilang penguasaan ke atas negeri itu.
Kepimpinan Bersatu bagaimanapun menafikan terlibat dalam sebarang usaha untuk menukar kerajaan negeri Perlis.
Beberapa pemimpin PAS sebelum ini mengancam untuk keluar daripada PN dan menghidupkan semula Muafakat Nasional bersama Umno, manakala sebahagian yang lain mencadangkan parti itu menerajui PN.
Namun pengunduran Muhyiddin dilihat telah meredakan ketegangan antara parti dalam gabungan tersebut.
Dalam sidang media sama, Anwar memaklumkan dia telah menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Johor.
Kata Anwar antara isu yang dipersembahkan kepada baginda ialah mengenai langkah tegas beberapa tahun kebelakangan ini dalam membendung isu rasuah.
Anwar berkata kerajaan tidak memilih bulu dalam mengambil tindakan, sama ada terhadap rakan atau lawan, dengan menegaskan bahawa tindakan turut diambil terhadap anggota kerajaannya sendiri, termasuk mereka yang berada di pejabatnya.
Dia merujuk kepada bekas setiausaha politiknya, Shamsul Iskandar Mohd Akin, yang sebelum ini didakwa menerima rasuah daripada ahli perniagaan Albert Tei berkaitan skandal perlombongan di Sabah.
Anwar menegaskan bahawa dasar utama kerajaan adalah menghapuskan amalan rasuah dan menegakkan prinsip tadbir urus yang baik.
"Namun masih ada saki-baki yang terperangkap dengan kerangka dan pola budaya lama yang bobrok," katanya.
