Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Krisis politik PAS-Bersatu: Apa kita tahu setakat ini
Diterbitkan:  Dec 31, 2025 8:00 AM
Dikemaskini: 12:00 AM

Kemelut politik antara PAS dan Bersatu mencapai kemuncak semalam apabila Muhyiddin Yassin mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan sebagai Pengerusi PN.

Bermula dengan khabar angin yang tersebar melalui aplikasi WhatsApp pada awalnya, Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari mendahului kepimpinan PN yang lain mengumumkan peletakan jawatan Muhyiddin.

Fadhli melalui hantaran di Facebooknya itu turut menyatakan kesediaan PAS untuk mengemudi PN.

Beberapa minit kemudian Muhyiddin mengumumkan keputusannya melalui satu kenyataan ringkas mengesahkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi PN bermula 1 Jan 2026.

Keputusan itu menerima reaksi pelbagai daripada pemimpin PAS. Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden yang sebelum ini menggesa Muhyiddin berundur, merakamkan penghargaan kepada "Abah" dan menyifatkan Presiden Bersatu itu berjiwa besar.

Tidak berakhir di situ, pengumuman Muhyiddin mencetuskan rantaian peletakan jawatan dalam kalangan pemimpin Bersatu.

Adun Bukit Kepong, Dr Sahruddin Jamal mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN Johor, diikuti Azmin Ali yang melepaskan jawatan sebagai Setiausaha Agung PN dan Pengerusi PN Selangor.

Azmin berkata dia membuat keputusan itu dengan mengambil kira pelantikannya sebagai setiausaha agung dipilih oleh Muhyiddin. Namun sebelum itu, Bendahari PAS, Iskandar Samad turut menggesa Azmin melepaskan jawatannya dalam PN.

Anak didik Azmin, Dr Afif Bahardin pula mengosongkan kerusi selaku Setiausaha PN Selangor.

Seterusnya, beberapa pemimpin Bersatu lain turut mengumumkan pengunduran daripada menerajui PN di peringkat negeri.

Ahmad Faizal Azumu yang juga Naib Presiden Bersatu mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN Perak, manakala Adun Labu yang juga Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu pula mengosongkan jawatan sebagai Pengerusi PN negeri.

Pengerusi PN Sarawak, Jaziri Alkaf Abdillah Suffian menjadi yang terakhir mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa 1 Januari 2026.

Melihat situasi semakin tegang, Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin menggesa semua pihak menghentikan tohmahan dan kembali kepada agenda penyatuan ummah serta fokus kepada masalah rakyat.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man pula mengesahkan parti itu mahu isu pengerusi PN dibincangkan dalam mesyuarat majlis tertinggi gabungan itu, selaras dengan perlembagaan PN.

Sehingga semalam, Presiden PAS Abdul Hadi Awang belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kemelut dalaman PN.

Pergolakan dalam PN tercetus susulan krisis politik di Perlis yang menyaksikan lima Adun Bersatu serta tiga Adun PAS menandatangani akuan bersumpah (SD) bagi menyingkirkan Mohd Shukri Ramli sebagai Menteri Besar.

Perkara itu menimbulkan kemarahan PAS apabila Bersatu Perlis bukan sahaja menandatangani SD malah turut menyerahkan nama calon Menteri Besar. Adun Kuala Perlis Abu Bakar Hamzah yang juga Ketua Bersatu Perlis kemudian dipilih sebagai Menteri Besar baru.

Pemimpin PAS menggesa Bersatu bertindak terhadap lima Adunnya seperti mana PAS memecat tiga Adun mereka.

Namun hasrat itu tidak tercapai apabila Muhyiddin dalam kenyataannya pada 27 Dis memaklumkan tiada arahan untuk lima Adun Bersatu menandatangani SD berkenaan dan sebaliknya akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada mereka.

Menurut sumber dalaman, lima Adun berkenaan menandatangani SD itu tanpa pengetahuan Muhyiddin.

Muhyiddin dikatakan membuat keputusan melepaskan jawatan sebagai Pengerusi PN atas dasar tanggungjawab berikutan krisis politik Perlis.

Bagaimanapun, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Annuar Musa menafikan peletakan jawatan Muhyiddin disebabkan pergolakan di Perlis.

Sebaliknya kata Annuar, dalam pertemuannya dengan Muhyiddin di London kelmarin, pemimpin Bersatu itu menyatakan kesediaan untuk menyerahkan teraju kepada PAS jika parti Islam itu mahukannya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS