Bekas ketua setiausaha sulit Muhyiddin Yassin, Marzuki Mohamad, memberi amaran agar PAS tidak terlalu yakin mampu berdiri sendiri tanpa dukungan rakan gabungan, dengan mengingatkan parti itu pernah melalui kitaran naik dan jatuh yang sama dalam sejarah politiknya.
Merujuk Pilihan Raya Umum (PRU) 1999, Marzuki berkata PAS mencatat kemenangan terbesar ketika itu apabila melonjak daripada tujuh kerusi Parlimen kepada 27 kerusi, mengekalkan Kelantan, merampas Terengganu dan hampir menawan Kedah.
Menurutnya, lonjakan tersebut didorong oleh “pemberontakan Melayu atau Malay revolt” terhadap Barisan Nasional (BN) susulan pemecatan dan pemenjaraan Anwar Ibrahim, yang menyebabkan sokongan orang ramai kepada BN di negeri-negeri majoriti penduduk Melayu seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu merosot dengan ketara.
“Orang-orang Melayu pada ketika itu yang bersimpati terhadap nasib Anwar Ibrahim… telah menolak BN.
“Keadaan ini memberikan lonjakan sokongan Melayu kepada PAS,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Marzuki turut menegaskan bahawa penyertaan PAS dalam Barisan Alternatif (BA) bersama Parti Keadilan Nasional (kini PKR) dan DAP telah membuka ruang sokongan baharu kepada PAS di negeri-negeri pantai barat seperti Perak dan Selangor, kawasan yang sebelum itu sukar ditembusi parti berkenaan.
Menurutnya, kerjasama tersebut menyebabkan PAS tidak lagi dilihat sebagai “parti kampung”, sebaliknya mula menampilkan imej lebih progresif dan bersedia diterima masyarakat pelbagai kaum, sekali gus mewujudkan keyakinan bahawa parti itu mampu menjadi kerajaan Persekutuan.
Bagaimanapun, keterujaan itu tidak bertahan lama.
Marzuki berkata pengumuman Dokumen Negara Islam oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, pada 2001 telah mendorong DAP keluar daripada BA, menyebabkan gabungan itu runtuh.
Akibatnya, PAS tewas di Terengganu dalam PRU 2004, hampir kehilangan Kelantan dan jumlah kerusi Parlimennya merosot kembali kepada tujuh.

“Haji Hadi menjadi menteri besar sepenggal di Terengganu. Ini fakta sejarah yang tidak boleh dinafikan,” katanya.
Mengulas situasi semasa, Marzuki melihat PAS sedang mengikuti “trajectory” yang sama selepas mencatat kemenangan terbesar dalam PRU15 hasil penyertaan dalam Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin oleh Muhyiddin.
Namun, katanya, hanya kerana Muhyiddin menjunjung titah Raja Perlis dalam isu pelantikan menteri besar, Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden mendesak beliau berundur sebagai Pengerusi PN.
Menurut Marzuki, PAS seolah-olah merasakan sumbangan parti lain tidak lagi signifikan dan parti itu mampu berdiri sendiri, dengan kes Perlis diletakkan sepenuhnya di bahu Muhyiddin dan Bersatu.
“Tan Sri Muhyiddin orang lama dalam politik… Jika jawatan Perdana Menteri beliau boleh lepaskan, apalah sangat jawatan Pengerusi Perikatan Nasional,” katanya.

Dia turut mempersoalkan tindakan PAS yang pantas menuntut jawatan pengerusi PN, sedangkan sebelum itu Abdul Hadi sendiri mengeluarkan pandangan bahawa jawatan tidak wajar diberikan kepada mereka yang menuntutnya.
“Yang peliknya, PAS dengan sepantas kilat menuntut jawatan pengerusi Perikatan Nasional.
Adakah fatwa Haji Hadi tidak terpakai kepada PAS?
“Apakah jalan ke hadapan bagi PN?” soalnya.
Marzuki seterusnya menggariskan tiga prasyarat yang perlu dipenuhi PN untuk memenangi PRU16, termasuk meningkatkan sokongan Melayu sehingga 80 hingga 85 peratus, menarik sekurang-kurangnya 15 hingga 20 peratus sokongan bukan Melayu, serta memperoleh dukungan parti-parti dari Sabah dan Sarawak.
Bagaimanapun, dia berkata ketiga-tiga prasyarat itu kini kelihatan semakin kabur.

Menurutnya, strategi “hollow-out” Umno semakin sukar apabila trend penyokong Umno mengundi PN mula berpatah balik dalam beberapa pilihan raya kecil, selain kecenderungan PAS menghidupkan semula Muafakat Nasional yang menyebabkan penyokong Umno mempersoalkan keperluan beralih kepada PN.
Dalam masa sama, katanya, pengundi bukan Melayu semakin menjauh apabila PAS dilihat menampilkan dirinya sebagai abang besar dalam PN, manakala parti-parti di Sabah dan Sarawak pula kurang selesa dengan imej Islamis dan konservatif dari Semenanjung.
“Ketakutan kepada green wave kelihatan seperti benar. Matlamat PN untuk menarik sokongan bukan Melayu menjadi semakin sukar.
“Sebelum ini Bersatu dan kepimpinan Muhyiddin menjadi jambatan antara imej konservatif PN dan watak moderat Sabah dan Sarawak. Jambatan ini sedang dibakar.” katanya.
Marzuki menegaskan, meskipun ada yang menyifatkan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai langkah pengukuhan PN, persoalan sebenar ialah sama ada gabungan itu benar-benar sedang mengukuh atau sebaliknya.
“Atau adakah PN sedang membunuh angsa yang bertelur emas?” soalnya sambil menggesa pimpinan PN bermuhasabah secara rasional dan objektif, serta tidak mengulangi kesilapan BA yang membawa kepada kekalahan besar PAS dalam PRU 2004.

Semalam, Muhyiddin secara rasmi mengumumkan peletakan jawatannya sebagai pengerusi gabungan itu selepas lima tahun memimpin PN, sejak 7 Ogos 2020, iaitu tarikh ia didaftarkan.
Sebelum ini, wujud beberapa desakan dan asakan daripada PAS termasuk oleh ketua pemudanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden, yang mahu jawatan pengerusi PN diserah kepada parti itu.
Perselisihan hubungan antara PAS dan Bersatu dikatakan tercetus susulan pergolakan politik di Perlis yang menyaksikan peletakan jawatan Adun Sanglang, Mohd Shukri Ramli sebagai menteri besar.
Raja Perlis kemudian berkenan melantik Adun Kuala Perlis daripada Bersatu, Abu Bakar Hamzah sebagai menteri besar yang baharu.
