Perikatan Nasional (PN) dijangka sukar untuk mengekalkan sokongan bukan Melayu pada pilihan raya umum akan datang susulan peletakan jawatan Muhyiddin Yassin selaku pengerusinya.
Pengerusi Urimai, P Ramasamy, berkata walaupun Bersatu mempunyai kecenderungan politik kaum, iaitu Melayu, namun parti itu berfungsi sebagai jambatan antara PN dan masyarakat bukan Melayu.

Katanya, golongan bukan Melayu selama ini melihat PAS sebagai ekstrem namun lebih selesa dengan pemimpin Bersatu seperti Muhyiddin dan Setiausaha Agung Bersatu, Mohamed Azmin Ali.
“Dengan ketiadaan Muhyiddin dan Azmin, usaha PN untuk membina hubungan dengan pengundi bukan Melayu akan menjadi jauh lebih sukar.
“Kini kedua-dua pemimpin ini tidak lagi berada dalam PN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatannya sebagai pengerusi gabungan itu selepas lima tahun memimpin PN, sejak 7 Ogos 2020, iaitu tarikh ia didaftarkan.
Keputusannya itu disusuli tindakan beberapa pengerusi PN di peringkat negeri yang turut meletakkan jawatan masing-masing. Antaranya, Dr Sahruddin Jamal (Johor), Mohamad Azmi Ali (Selangor), Ahmad Faizal Azumu (Perak) dan Mohamad Hanifah Abu Baker (Negeri Sembilan).
Ramasamy juga mendakwa, konflik antara PAS dan Bersatu telah lama berakar, namun krisis politik di Perlis menjadi pencetus utama kepada perletakan jawatan Muhyiddin, yang kemudian diikuti beberapa pimpinan Bersatu di peringkat negeri .

“Konflik antara PAS dan Bersatu telah lama membara, melibatkan perbezaan dari segi ideologi, pengalaman dan pendekatan politik,” katanya.
Bekas pemimpin DAP itu turut mengakui PAS kini mendominasi PN dari segi sokongan pilihan raya serta bilangan ahli Parlimen dan Adun, namun menegaskan Bersatu mempunyai kelebihan ketara dari sudut pengalaman pentadbiran dan pendedahan politik di peringkat nasional.
Malah, katanya, tiada pemimpin PAS yang setanding dengan pengalaman Muhyiddin, seorang bekas menteri persekutuan lama dan bekas perdana menteri, manakala Azmin pula merupakan tokoh penting pembangkang sebagai bekas menteri besar Selangor dan menteri persekutuan.
“Atas sebab itulah PAS sebelum ini bersetuju untuk membenarkan Muhyiddin mengetuai PN, walaupun dari segi kekuatan kerusi, PAS berada di hadapan,” katanya.
Namun, katanya, ketidakseimbangan antara PAS dan Bersatu akhirnya mencetuskan ketegangan terbuka, khususnya susulan peranan wakil rakyat Bersatu dalam melemahkan kedudukan menteri besar Perlis sehingga membawa kepada peletakan jawatan, serta pelantikan calon Bersatu sebagai pengganti.

Ramasamy turut mengaitkan krisis itu dengan rasa tidak puas hati Umno terhadap kerajaan Madani, khususnya berhubung layanan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak dan kegagalan usaha mendapatkan tahanan rumah.
Katanya, kenyataan beberapa pemimpin DAP yang menyifatkan penolakan permohonan Najib sebagai satu kemenangan telah mencetuskan kemarahan dalam kalangan pimpinan Umno, sehingga timbul desakan menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) bersama PAS.
“Jika MN dihidupkan semula, ia akan menjadi tamparan besar kepada PN dan sekali gus menolak DAP ke pinggiran politik,” katanya.
Tambahnya, kebangkitan semula MN juga akan menjadi satu penghinaan politik kepada Bersatu kerana membuka ruang kepada PAS untuk meninggalkan gabungan itu dan kembali bersama Umno.

Dalam konteks itu, Ramasamy menyifatkan tindakan Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai langkah pantas untuk menggagalkan usaha menghidupkan MN, namun pada masa sama mengakui langkah tersebut telah meninggalkan kekosongan besar dalam kepimpinan pembangkang.
“Walaupun ada yang mendakwa PN menjadi lebih kukuh selepas peletakan jawatan itu, realitinya PN kini kelihatan berkecai,” katanya lagi.
