Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Akmal balas Nurulhidayah: Adakah hala tuju Umno hak mutlak Zahid?
Diterbitkan:  Dec 31, 2025 1:37 PM
Dikemaskini: 5:46 AM

Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, menyelar nasihat daripada Nurulhidayah Ahmad Zahid, sambil mempertahankan pendiriannya bahawa pemimpin pemuda parti berhak menentukan hala tuju Umno.

Exco Wanita Umno, Nurulhidayah, sebelum ini menasihatkan Akmal bahawa walaupun bersuara adalah hak ahli parti, namun sebarang keputusan mengenai masa depan parti bukan terletak di tangan Pemuda Umno semata-mata.

Anak kepada presiden Umno merangkap pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi, itu turut menyatakan bahawa apabila isu hala tuju parti dibawa terus ke ruang awam dengan nada seakan-akan kata-dua (ultimatum), ia membuka ruang kepada persepsi bahawa Umno sedang "retak dari dalam".

Dalam satu hantaran di media sosial bagi membalas pandangan Nurulhidayah, Akmal mempersoalkan jika menyuarakan pendapat untuk menentukan hala tuju parti adalah "hak mutlak seorang presiden parti".

“Lakukan mengikut struktur dan proses dalaman? Berdasarkan apa? Kapasiti kepentingan individu?

“Saya, dan ramai lagi yang sertai politik dan Umno, bukan untuk ikut telunjuk semata-mata menjadi yes boss semata-mata atau untuk diri sendiri, tetapi untuk agama, rakyat, dan negara,” katanya.

Semalam, Nurulhidayah menjelaskan bahawa dia tidak berniat agar nasihatnya kepada Akmal ditafsirkan sebagai serangan peribadi, mahupun usaha untuk menyalahkan mana-mana pihak.

Sebaliknya, dia berkata pesanan yang penuh berhati-hati dan kasih sayang itu lahir daripada rasa tanggungjawab “sebagai seorang kakak kepada adik” yang tidak mahu melihat adiknya “jatuh lebih jauh.”

“Kerunsingan saya bukan tentang Datuk Akmal secara peribadi. Ia tentang suasana politik yang terlalu ghairah dengan sorakan, sehingga kita terlupa bertanya, selepas sorakan itu, apa kesannya kepada parti, kepada negara, kepada rakyat?

“Pepatah Melayu mengingatkan kita, menang sorak, kampung tergadai. Ia bukan pepatah sinis, tetapi peringatan orang tua-tua tentang bahaya emosi mengatasi hikmah.

Apabila penulisan itu disalah tafsir, diviralkan dan dipotong konteksnya, ia kelihatan seolah-olah saya sedang melawan dan terbuka dilagakan.” katanya,

Akmal, yang juga Adun Merlimau, sebelum ini telah menggesa agar Perikatan Nasional (PN) dibubarkan di tengah-tengah tanda baharu perbalahan dalaman gabungan itu, terutamanya di Perlis.

Dalam membuat gesaan tersebut, Akmal turut mencadangkan kebangkitan semula pakatan Muafakat Nasional (MN) antara PAS dan Umno, dengan Pemuda Umno akan mengadakan konvensyen khas pada 3 Januari untuk membincangkan isu berkaitan perkara tersebut.

Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, berkata pakatan MN hanya akan dapat dilaksanakan jika Umno dan BN meninggalkan sekutu kerajaan mereka, Pakatan Harapan (PH).

Pakatan MN, yang dikongsi antara Umno dan PAS bermula 2019, menandakan satu pencapaian dalam menyatukan kuasa politik Melayu selepas berdekad persaingan antara kedua-dua entiti tersebut.

Bagaimanapun, susulan kejatuhan kerajaan PH dan pelantikan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri pada 2020, PAS memilih untuk bekerjasama dengan Bersatu bagi membentuk PN — satu langkah yang dianggap Umno sebagai pengkhianatan.

PAS juga berkeras untuk memasukkan Bersatu ke dalam MN, yang ditentang oleh Umno. Pakatan itu berakhir pada Disember 2022 susulan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15, dengan Umno menyokong Presiden PKR, Anwar Ibrahim, sebagai perdana menteri.

Namun, susulan keputusan Presiden Bersatu, Muhyiddin, untuk meletak jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari, jalan ke arah kebangkitan semula MN berdepan ketidaktentuan baharu, memandangkan PAS berkemungkinan besar tidak lagi memerlukan Umno atau pakatan tersebut jika ia berjaya memperoleh jawatan kepimpinan tertinggi PN.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS