Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tamat kontrak pemaju PGBF, Jasri sifatkan ‘kemenangan manis' 2025

Keputusan kerajaan Pahang menamatkan kontrak syarikat terbabit dalam kerja pemulihan projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) disifatkan sebagai kejayaan paling manis untuk tahun ini.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Sentul, Jasri Jamaludin berkata, isu berkenaan dibangkitkan olehnya setiap kali Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang bersidang bagi mendapatkan penjelasan daripada kerajaan negeri.

"Alhamdulillah... (akhirnya) isu saya perjuangkan sejak awal tahun 2022 diambil tindakan oleh kerajaan negeri. Saya harap kerajaan Pahang menyegerakan pemulihan projek ini.

"Dalam masa yang sama, kerajaan negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP) perlu mempunyai mekanisme dan prosedur operasi standard (SOP) yang tegas dalam memantau projek 'sakit' bagi mengelak perkara sama berulang," katanya kepada Malaysiakini, di Kuantan, hari ini.

Jasri yang juga timbalan ketua Bersatu Pahang mengulas demikian ketika ditanya mengenai kenyataan dibuat Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff semalam.

Mohammad Fakhruddin ketika ditemui di Kuantan petang semalam memaklumkan kerajaan Pahang sudah menamatkan perkhidmatan kontraktor bagi tujuh tapak projek PGBF berikutan kegagalan memenuhi syarat ditetapkan kerajaan negeri.

"Rumah PGBF di Pahang ada sepuluh projek yang dikawal selia oleh pihak LPHP, yang tujuh daripadanya kita telah membuat keputusan untuk tidak meneruskan projek tersebut, tiga lagi masih dalam tindakan pembinaan oleh pihak pemaju.

"Projek PGBF bukanlah inisiatif dilaksanakan kerajaan negeri, cuma setelah projek itu terbengkalai, kerajaan negeri cuba untuk menyelesaikan dan memberi tawaran kepada pemaju untuk mengusahakannya.

"... dan apabila kita dapati, pemaju ini tidak dapat menyelesaikannya, kerajaan negeri terpaksalah mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan projek itu dapat diteruskan,” kata Mohammad Fakhruddin yang juga Adun  Bebar.

Jasri  pernah mengadakan sidang media bersama subkontraktor yang terbabit dalam pemulihan projek PGBF di ibu negara pada 25 Nov tahun lalu.

Dalam sidang media itu, wakil kumpulan subkontraktor mendakwa mereka mengalami kerugian hampir RM30 juta selepas tidak menerima bayaran daripada syarikat pemaju utama 10 projek berkenaan.

Syarikat pemaju utama bagi kerja pemulihan projek PGBF Pahang - KDMI Holdings Sdn Bhd (KDMI) - menafikan tuduhan kumpulan subkontraktor dan membuat laporan polis terhadap Jasri  selain memaklumkan akan memfailkan saman terhadapnya, sehari selepas dia bersama subkontraktor berkenaan membuat sidang media.

Pengarah Urusan KMDI Azjuriyahti Azlan berkata tuduhan Jasri dan wakil kontraktor Syahfrilhaidi Abdul Rahman merupakan fitnah jahat terhadap syarikat itu.

Azjuriyahti berkata projek berjalan sebagaimana persetujuan yang dibuat dan ditandatangan bersama dengan kerajaan negeri Pahang melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang.

Bagaimanapun, Jasri  memberitahu Malaysiakini, tidak pernah menerima writ saman daripada KDMI sehingga hari ini.

Dalam pada itu, Jasri  berharap proses pemilihan pemaju dan kontraktor baharu bagi projek berkenaan dilakukan secara telus.

"Pilih pemaju dan kontraktor yang berwibawa, kalau nak bagi (projek) kepada kroni pun, mestilah yang ada pengalaman dan keupayaan.

"Terlalu banyak masa, wang dan peluang dalam kerja pembinaan rumah untuk rakyat sudah dibazirkan... jangan sampai tertangguh lagi," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS