Pembela hak asasi manusia mengecam pendakwaan terhadap seorang peserta demonstrasi solidariti Global Sumud Flotilla (GSF) atas dakwaan melakukan serangan, dengan menegaskan pertuduhan terhadap lelaki penganggur itu mengabaikan peranan polis yang didakwa mencetuskan kekecohan berkenaan.
Peguam Zaid Malek mewakili Isa Hazmi Zulkifli, 32, yang hari ini didakwa atas satu pertuduhan serangan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, menekankan ketidakadilan pertuduhan yang dikenakan terhadap anak guamnya.
“Kami dengan tegas membantah keputusan untuk mendakwa (Isa) kerana (kejadian) itu berlaku akibat sikap bermusuhan polis terhadap para penunjuk perasaan,” kata Zaid, yang juga pengarah Lawyers for Liberty (LFL), kepada Malaysiakini.
“Mengapa penunjuk perasaan dihalang daripada melaksanakan hak mereka yang dijamin perlembagaan sedangkan ia selari sepenuhnya dengan pendirian kerajaan terhadap serangan ke atas flotila itu?

"Hak bersuara dan berhimpun adalah untuk semua, bukan hanya mereka yang berkuasa,” tegasnya.
Terdahulu hari ini, Isa mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang menuduhnya menyerang seorang peserta lain dalam demonstrasi yang diadakan di luar Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur pada 2 Oktober lalu.
Seksyen 323 Kanun Keseksaan memperuntukkan mana-mana individu yang disabitkan kesalahan dengan sengaja menyebabkan kecederaan boleh dihukum penjara sehingga setahun, atau denda maksimum RM2,000, atau kedua-duanya.
Mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM1,300 dengan seorang penjamin manakala Majistret Faezahnoor Hassan menetapkan 12 Februari tahun depan sebagai tarikh sebutan kes.

Dalam satu kenyataan susulan pendakwaan Isa, pertubuhan masyarakat sivil menggesa agar pertuduhan itu digugurkan, menyatakan tuduhan berkenaan “tidak berasas” kerana anggota polis berpakaian preman didakwa telah meningkatkan ketegangan semasa demonstrasi pro-Palestin itu.
Demonstrasi itu diadakan selepas tentera laut Israel menahan aktivis Malaysia di atas kapal GSF yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza. Sebelum ini, demonstrasi tersebut turut menyaksikan penahanan dua individu atas dakwaan menghalang polis, dengan seorang pegawai dilaporkan mengalami kecederaan dalam satu pertelingkahan.
Pada masa itu, Zaid mengecam Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail kerana “membela secara membuta tuli” tindakan polis dalam mengendalikan demonstrasi tersebut, sambil menuduh menteri itu secara tidak adil menyalahkan penunjuk perasaan, serta menggesanya menyiasat dakwaan layanan agresif polis terhadap peserta perhimpunan.
Ketika itu, Zaid turut berkata rakaman video daripada protes berkenaan menunjukkan polis meningkatkan ketegangan, termasuk dakwaan 'mencekik' leher seorang penunjuk perasaan dan mengheret seorang penunjuk perasaan wanita di atas jalan.

Menyuarakan sentimen yang sama, pertubuhan masyarakat berkenaan hari ini berkata bahawa meneruskan pertuduhan terhadap Isa “mengalihkan penelitian sewajarnya” daripada kegagalan polis yang didakwa tidak menghormati dan melindungi hak perlembagaan peserta untuk berhimpun secara aman.
“Polis memikul kewajipan positif yang lebih tinggi untuk memudah cara perhimpunan, memandangkan mereka mempunyai ‘monopoli undang-undang ke atas penggunaan kekerasan fizikal bagi menegakkan undang-undang serta mengekalkan ketenteraman awam dan keselamatan’, seperti yang dinyatakan dengan tepat dalam (dokumen antarabangsa) Handbook on Monitoring Freedom of Peaceful Assembly,” tambah mereka.
Sebanyak 21 pertubuhan menyokong kenyataan tersebut, termasuk LFL, Suaram, Justice for Sisters, Centre for Independent Journalism, Bersih dan Amnesty International Malaysia.
Mereka turut menegaskan polis sepatutnya mencegah konflik, meredakan ketegangan dan mengurangkan risiko keganasan semasa demonstrasi melalui dialog, pengantaraan dan langkah-langkah penyaheskalasi lain berasaskan prinsip komunikasi, rundingan, penglibatan komuniti, kawalan diri serta penggunaan kekerasan secara minimum.

“Sebaliknya, pegawai telah mengalih penunjuk perasaan ke jalan utama — satu sekatan yang tidak seimbang terhadap pelaksanaan hak untuk berhimpun secara aman — serta menggunakan kekerasan yang tidak perlu dan tidak seimbang untuk menahan peserta dan menangkap dua pembela hak asasi manusia.
“Tingkah laku sedemikian bertentangan dengan pendekatan melindungi dan memudah cara perhimpunan awam,” tambah mereka.
Pertubuhan berkenaan turut menggesa Kementerian Dalam Negeri meminda Seksyen 8 Akta Perhimpunan Aman (PAA) 2012 bagi memperincikan peranan polis dalam memudah cara perhimpunan aman selaras dengan protokol contoh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan perjanjian antarabangsa.
Mereka menekankan anggota polis yang terlibat dalam perhimpunan perlu dikenal pasti dengan jelas dan mudah dilihat melalui paparan lencana nama, nombor pengenalan dan insignia pangkat manakala penggunaan pegawai berpakaian preman dalam perhimpunan hanya perlu dibuat atas dasar keperluan.

“Selaras dengan protokol contoh itu, polis perlu menahan diri daripada memperkenalkan operasi penyamaran dalam konteks protes kerana kesan menggentarkan yang mendalam serta risiko pelanggaran hak asasi manusia.
“Sebarang operasi penyamaran, apabila dibenarkan, mesti mendapat kebenaran dan dipantau secara berterusan oleh pihak berkuasa kehakiman dan pihak berkuasa tersebut perlu dibekalkan dengan semua maklumat berkaitan bagi membolehkan penelitian yang kukuh terhadap kesahihan, keperluan dan perkadaran operasi berkenaan,” kata mereka.
Sehubungan itu, pertubuihan berkenaan mendesak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) menjalankan penilaian impak hak asasi manusia terhadap amalan polis semasa perhimpunan awam, serta PAA dan pematuhannya terhadap piawaian hak asasi manusia antarabangsa.
Pertubuhan itu juga mengulangi kritikan terdahulu terhadap penyebaran sebuah video yang dirakam di dalam balai polis ketika dua aktivis yang ditahan sedang diproses untuk ikat jamin, dengan Zaid sebelum ini menegaskan rakaman itu dibuat tanpa persetujuan kedua-duanya.
“Polis telah mengeluarkan satu video, di mana seorang pegawai kelihatan ‘menasihati’ (aktivis berkenaan) supaya tidak mengulangi tindakan mereka — sebelum sebarang siasatan selesai — walaupun terdapat bukti video lain serta keterangan saksi mata yang menunjukkan pegawai polis berpakaian preman telah memprovokasi penunjuk perasaan.
“Kandungan video tersebut dan penyebarannya menjejaskan prinsip praduga tidak bersalah serta hak kepada privasi, keselamatan dan maruah yang dilindungi di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan,” kata mereka.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus, kemudiannya mempertahankan hantaran media sosialnya yang memaparkan seorang pegawai polis kelihatan menasihati dua penunjuk perasaan yang ditahan semasa demonstrasi itu.
Mengulas video yang dimuat naik itu, pengguna media sosial mempersoalkan kesahihan tindakan seorang pegawai polis berkongsi video sedemikian secara terbuka, dengan sebahagian mereka membangkitkan kebimbangan mengenai isu persetujuan, keselamatan dan privasi memandangkan wajah kedua-dua lelaki itu kelihatan jelas.
