Bekas ketua setiausaha sulit Muhyiddin Yassin, Marzuki Mohamad berpandangan PAS berisiko kalah di dua daripada tiga kerusi DUN Perlis, yang sebelum ini diumumkan perlu diadakan PRK oleh speaker negeri itu, Rus'sele Eizan.
Justeru, Marzuki menyambut baik langkah Rus'sele untuk menarik balik keperluan mengadakan PRK tersebut.
Menurut Marzuki, DUN Chuping dan Bintong dalam kedudukan bahaya jika mengambil kira jumlah undi yang diraih PH dan BN pada PRU yang lalu.
“Kemenangan calon PN dari PAS sebahagian besarnya disebabkan oleh gelombang sokongan Melayu kepada PN pada PRU15 dan perpecahan undi antara BN dan PH.
“Ketika ini gelombang PN dalam PR15 telah surut dan trend beberapa PRK sebelum ini menunjukkan undi BN dan PH adalah ‘transferable’.
“Ini bermakna jika BN meletakkan calon melawan PAS, penyokong PH akan solid menyokong calon BN sepertimana yang ditunjukkan dalam PRK Mahkota dan Ayer Kuning,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Di Chuping, Marzuki membangkitkan perbezaan undi yang diraih PAS dengan gabungan BN dan PH hanyalah 818 undi.
“Dengan kemelut dalaman PAS di Perlis, hubungan dingin dengan Istana Perlis serta trend kembalinya penyokong Umno kepada parti itu, kelebihan kecil ini boleh hilang dengan mudah,” katanya.
Di Bintong pula, Marzuki berkata perbezaan undi antara PAS dan gabungan BN dan PH adalah 2,300 undi
“Dalam PRU14, undi asas PAS di Bintong hanyalah 2,695 manakala BN 3,986. Ini menunjukkan hampir 1,000 undi BN beralih kepada PAS pada PRU15,” katanya.
Jika undi tersebut kembali kepada BN, katanya lagi, kerusi itu juga berisiko tinggi jatuh ke tangan Umno.
PAS sebelum ini memaklumkan keanggotaan tiga Adun tersebut - Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji) - dalam parti itu terhenti selepas tindakan mereka membuat akuan bersumpah (SD) bagi menyingkirkan Mohd Shukri Ramli daripada jawatan Menteri Besar.
Dia digantikan oleh Adun Kuala Perlis yang juga pengerusi Bersatu negeri itu, Abu Bakar Hamzah.
Mengulas lanjut, Marzuki berkata jika PRK tetap diadakan, pertelagahan antara Umno dan DAP berhubung isu tahanan rumah bekas perdana menteri Najib Razak tidak semestinya memberi kelebihan kepada PAS.
“Walaupun ada riak-riak pertelagahan antara Umno dan DAP, saya percaya DAP/PH akan bertindak secara rasional untuk menyokong calon Umno
“Bagi DAP apa pun perang mulut antara parti itu dan Umno, mereka akan tetap menyokong calon Umno dalam pilihan raya. Ini kerana menyokong Umno bermaksud mengekalkan kerajaan perpaduan.
“Mengekalkan kerajaan perpaduan bermaksud mengekalkan DAP/PH di tampuk kuasa. Jadi menyokong calon Umno adalah pilihan rasional DAP/PH,” katanya lagi.
Berhubung Umno sendiri, Marzuki berkata parti itu kini berada dalam fasa pemulihan selepas prestasi terburuknya dalam PRU15 dan kemenangan PRK penting untuk menghantar isyarat kebangkitan parti itu.
“Kemenangan dalam PRK adalah penting kepada Umno untuk menghantar isyarat kepada ahli-ahlinya bahawa parti itu sedang pulih. Jadi mengendurkan pertelagahan dengan DAP/PH untuk menang PRK adalah pilihan rasional Umno.
“Adalah terlalu naif bagi sesiapa pun untuk mengandaikan Umno akan memutuskan hubungannya dengan DAP/PH pada saat ini.
“Muafakat Nasional bukan “pilihan rasional” Umno,” katanya lagi.
