Lebih sebulan selepas kediaman mereka diratakan jentolak, penduduk Kampung Jalan Papan, Pandamaran hari ini memilih cara luar biasa untuk menyuarakan kemarahan.
Bersempena menyambut tahun baru 2026, mereka “melancarkan” deretan sembilan unit bilik sempit sebagai simbol protes terhadap Kerajaan Negeri Selangor yang didakwa masih gagal menunaikan janji perumahan.
Unit sempit yang dibina dengan keluasan hanya 8x8 kaki persegi itu menjadi manifestasi kekecewaan penduduk yang kini terpaksa hidup dalam keadaan serba daif, di atas tanah yang statusnya masih dipertikaikan di mahkamah.
Hadir ke majlis pelancaran itu, Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan berkata penduduk seolah-olah dipaksa membina “projek perumahan” mereka sendiri selepas kerajaan negeri dan pemaju sekadar menabur janji di media tanpa sebarang tindakan konkrit di lapangan.

“Hari ini penduduk lancar sembilan rumah baru hasil kerjasama sendiri.
"Inilah realiti 'Rumah Selangorku' versi rakyat marhaen yang dirobohkan rumahnya tapi tidak diberikan ganti. Tindakan membina bilik papan lapis itu adalah langkah terakhir bagi memastikan warga emas dan individu bujang tidak terus merempat.
“Tindakan kerajaan negeri adalah tidak adil kerana mendahului proses undang-undang apabila merobohkan 29 buah rumah berpenghuni pada November tahun lalu, sedangkan kes rayuan status tanah masih belum diputuskan di mahkamah.
“Kalau kita menang di Mahkamah Rayuan nanti, bermakna perobohan ini adalah haram. Pihak pemaju dan kerajaan perlu bayar ganti rugi besar kerana memusnahkan harta benda rakyat sebelum hakim buat keputusan,” katanya dalam sidang media di Kampung Papan, hari ini.

Pada November lalu, pemaju bertindak merobohkan rumah kosong dan berpenghuni, walaupun kerajaan negeri sebelum itu berjanji hanya struktur kosong tanpa penghuni akan dirobohkan.
Menurut jawatankuasa penduduk, sebanyak 29 unit rumah berpenghuni dirobohkan dalam operasi selama lima hari itu, yang turut menyaksikan 11 penduduk, ahli PSM dan aktivis ditahan polis.
Sebelum ini, kerajaan Selangor dilaporkan memberi komitmen untuk membina rumah baru bagi menempatkan semula penduduk Kampung Papan yang terjejas.
Adun Pandamaran, Tony Leong berkata projek pembinaan rumah untuk 181 keluarga akan dilaksanakan oleh sebuah anak syarikat kerajaan negeri dalam masa terdekat.

Namun, menurut Arutchelvan, sehingga kini tiada sebarang perbincangan rasmi diadakan oleh kerajaan negeri dengan penduduk.
“Jangan hanya pandai buat kenyataan di media atau TikTok untuk sejukkan hati netizen. Di sini, satu surat tawaran rasmipun penduduk tak terima. Adunpun tak nampak beri penjelasan.
“Penduduk sebenarnya telah bersetuju dengan tawaran perumahan RM99,000 sejak Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) pada 2018, namun projek itu "ghaib" begitu saja.
“Kami ada bukti hitam putih. 83 penduduk tulis surat kepada menteri besar (ketika itu Mohamed Azmin Ali) cakap mereka setuju dengan tawaran itu. Jadi, jangan guna propaganda kata penduduk tolak pembangunan sebagai alasan untuk roboh rumah mereka,” katanya.

Terdahulu, wakil penduduk memaklumkan bahawa sembilan bilik berkenaan didirikan hasil kerjasama penduduk di salah satu tapak Kampung Jalan Papan.
“Kesemua sembilan bilik dihuni warga emas dan dua bujang siap dibina dengan tandas dan bilik mandi awam,” kata Arul.
Dia turut mengingatkan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari supaya tidak meninggalkan “pusaka masalah” ini kepada penggantinya, sebaliknya segera membuka ruang rundingan secara bersemuka dengan penduduk.
“Penduduk bukan keras kepala. Mereka sedia berpindah jika ada perjanjian rasmi yang menjamin mereka boleh masuk semula selepas rumah siap. Apa yang susah sangat nak buat perjanjian,” soalnya lagi.

Sebelum ini, bekas ahli parlimen Klang Charles Santiago berkata berdasarkan perjanjian antara kerajaan negeri Selangor yang ditadbir BN ketika itu dengan pemaju yang ditubuhkan bagi memulihkan projek perumahan terbengkalai, TPPT Sdn Bhd (TPPT), keluarga terlibat dijanjikan rumah sekiranya syarikat itu mengambil alih tanah berkenaan.
“Kerajaan Selangor pada 1995 memindahkan 95 ekar tanah tersebut kepada TPPT, sebuah anak syarikat Bank Negara Malaysia, manakala pada 2007, TPPT membawa masuk pemaju Melati Ehsan Consolidated Sdn Bhd untuk membina rumah-rumah tersebut.
“Namun, selepas hampir tiga dekad, keluarga di Kampung Papan masih belum menerima rumah teres dua tingkat yang dijanjikan, yang sepatutnya dijual kepada mereka pada harga RM99,000,” katanya.
