Bersatu Negeri Sembilan menamakan Presiden PAS Abdul Hadi Awang untuk menjadi pengerusi PN susulan peletakan jawatan Muhyiddin Yassin.
Setakat ini, PAS masih berdiam diri mengenai siapa dalam kalangan pemimpinnya yang akan menggantikan Muhyiddin, yang menerajui PN sejak gabungan itu ditubuhkan pada 2020.
"(Abdul Hadi Awang) merupakan tokoh paling layak, berwibawa dan strategik untuk diangkat sebagai pengerusi Perikatan Nasional yang baharu.
"Dalam landskap politik semasa yang semakin mencabar dan tidak menentu, Perikatan Nasional memerlukan seorang pengerusi yang mempunyai autoriti moral yang kukuh, pengalaman politik yang luas serta keupayaan menyatukan parti-parti komponen secara berdisiplin dan berkesan. Tuan Guru Abdul Hadi Awang memenuhi kesemua keperluan ini secara menyeluruh dan tidak boleh dipertikaikan.

"Dari sudut prinsip dan amalan politik yang sihat, jawatan pengerusi Perikatan Nasional wajar disandang oleh presiden parti komponen yang memiliki mandat tertinggi dalam struktur parti masing-masing," kata Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan Mohamad Hanifah Abu Baker pada satu kenyataan hari ini.
Pada 30 Disember lalu, Mohamad Hanifah melepaskan jawatan pengerusi PN Negeri Sembilan susulan pengunduran Muhyiddin daripada menerajui gabungan itu.
Memandangkan kebelakangan ini hubungan PAS dan Bersatu agak tegang tidak pasti sama ada kenyataan Hanifah ini berupa sindiran atau tidak.
Sementara itu, Hanifah berkata pelantikan individu selain daripada kalangan presiden bukan sahaja mencetuskan kekeliruan dari segi autoriti kepimpinan, malah berisiko melemahkan rantaian pentadbiran, menyukarkan penyelarasan gabungan serta menjejaskan keberkesanan pembuatan keputusan strategik.

"Selain itu, pengerusi Perikatan Nasional mestilah seorang tokoh yang mempunyai penerimaan melangkaui batas kaum dan latar masyarakat, agar PN kekal sebagai gabungan nasional yang inklusif, stabil dan diyakini rakyat.
"Dalam hal ini, kedudukan Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai tokoh nasional yang dikenali, dihormati dan disegani menjadikan beliau aset penting kepada kekuatan serta kredibiliti Perikatan Nasional.
"Saya juga merujuk kepada pendekatan kepimpinan dalam PAS yang berpaksikan prinsip fiqh bahawa selagi seseorang masih mampu memikul amanah, tanggungjawab tersebut wajar diteruskan demi maslahat yang lebih besar," katanya.
Mohamad Hanifah yang juga Adun Labu menegaskan hanya Muhyiddin dan Abdul Hadi saja yang benar-benar memiliki legitimasi dalam PN.

"Memandangkan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melepaskan jawatan pengerusi, maka Tuan Guru Abdul Hadi Awang merupakan pilihan paling rasional, kukuh dan berwibawa bagi memastikan kesinambungan dan kestabilan kepimpinan Perikatan Nasional terus terpelihara," katanya.
Walaupun, Abdul Hadi mungkin tampak sebagai pilihan paling jelas menerajui PN menurut Bersatu Negri Sembilan namun terdapat pihak membangkitkan isu kesihatan pemimpin berusia 78 tahun yang pernah menjalani satu prosedur perubatan melibatkan jantungnya pada Jun lalu.
Isu kesihatan Hadi bukanlah perkara baru. Pada Februari tahun lalu, pembantunya memaklumkan bahawa ketiadaan ahli parlimen Marang itu daripada istiadat pembukaan Dewan Rakyat adalah disebabkan pemulihannya daripada masalah kesihatan serta rawatan susulan.
Pada masa sama, Mursyidul Am PAS Hashim Jasin dipetik FMT sebagai berkata doktor menasihatkan Hadi supaya tidak melakukan perjalanan susulan masalah jantung dan beberapa penyakit lain.

Hadi juga telah menolak dirinya sendiri sebagai calon perdana menteri PN apabila dia berkata dalam satu sidang media semasa muktamar PAS pada September lalu bahawa pemimpin perlu sihat dan berusia bawah 70 tahun.
Kebiasaannya, individu yang memimpin gabungan turut menjadi calon perdana menteri PN bagi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16). Namun, perkara itu bukanlah satu peraturan mutlak.
Sebagai alternatif, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presidennya Ahmad Samsuri Mokhtar dan ketua pembangkang di parlimen merangkap Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin antara yang disebut-sebut akan menggantikan Muhyiddin sebagai pengerusi PN.
