Kehadiran aktor popular Tamil Nadu, Vijay, di Stadium Nasional Bukit Jalil sempena pelancaran audio filem terbaharunya Jana Nayagan bukan sekadar acara hiburan berskala besar. Kehadiran kira-kira 85,000 peminat pada malam tersebut menjadikannya satu peristiwa makna—budaya popular, simbol kepemimpinan dan emosi kolektif bertemu dalam ruang nasional Malaysia yang sarat dengan signifikasi kuasa.
Dalam sejarah politik Tamil Nadu, hubungan antara bintang filem dan kuasa politik bukan fenomena baharu. Figura seperti MGR dan Jayalalithaa telah lama menunjukkan bahawa sinema boleh menjadi kilang imaginasi politik: filem membentuk naratif tentang keadilan, penderitaan rakyat dan figur penyelamat yang kemudiannya dipindahkan ke medan politik sebenar.
Vijay muncul sebagai kesinambungan tradisi ini tetapi dalam era pascarealiti dan media digital yang pengaruh simbolik merentasi sempadan wilayah dan negara.
Pelancaran Jana Nayagan di Malaysia menunjukkan bagaimana budaya Tamil kini beroperasi sebagai ruang transnasional, menghubungkan diaspora Tamil dengan akar politik dan budaya asal mereka.
Di sinilah beroperasinya populisme budaya. Tidak seperti populisme klasik yang bergantung pada retorik antielit atau mobilisasi ekonomi, populisme budaya beroperasi melalui emosi, identifikasi dan pengulangan simbolik.
Watak-watak Vijay di layar perak, yang konsisten berpihak kepada “orang kecil”, membina hubungan afektif jangka panjang dengan khalayak. Hubungan ini tidak memerlukan manifesto politik atau retorik formal; ia disahkan melalui rasa bahawa figura tersebut “sudah lama bersama rakyat”, walaupun dalam bentuk fiksi.
Pelancaran Jana Nayagan di Bukit Jalil menjadi ritual populis: muzik, sorakan, nyanyian serentak dan senyuman Vijay menyusun pengalaman kolektif yang meneguhkan naratif kepemimpinan simbolik. Gelaran Thalapathy bukan sekadar panggilan peminat tetapi tanda kuasa budaya yakni kuasa yang diiktiraf sukarela oleh khalayak, bukannya melalui institusi politik atau birokrasi.
Tubuh dan persona Vijay berfungsi sebagai medium simbolik, mengatur emosi massa dan membina keyakinan tanpa perlu manifesto atau retorik eksplisit.
Namun pengalaman ini memberikan perbandingan yang menarik dengan konteks Malaysia. Walaupun bintang filem tempatan mampu membangkitkan sorakan dan perhatian media, kejayaan dalam politik formal masih sukar dicapai.
Contoh seperti penyanyi Wan Aishah Wan Ariffin atau lebih dikenali dengan Aishah , Hans Isaac, Aflin Shauki, Eizlan Yusof dan Ahmad Izham menunjukkan bahawa populariti budaya tidak menjamin legitimasi pengundi.
Sorakan 85,000 peminat
Sorakan 85,000 peminat di stadium mungkin mencipta pengalaman simbolik dan emosional, tetapi ia tidak diterjemahkan secara automatik menjadi kuasa politik, kerana sistem pengundian dan struktur parti menuntut kepercayaan yang berulang, bukannya sekadar keterujaan momentari.
Fenomena ini menekankan krisis legitimasi institusi moden: di banyak negara Asia Selatan dan dalam diaspora Global South, institusi politik tradisional sering dilihat lambat, elitis, dan terpisah daripada emosi rakyat.
Dalam kekosongan ini, budaya popular muncul sebagai ruang alternatif legitimasi, di mana naratif moral dan kepemimpinan dibina melalui filem, muzik dan selebriti. Di Tamil Nadu fenomena ini boleh diterjemahkan kepada kuasa politik sebenar; di Malaysia ia lebih kepada pengalaman simbolik dan imaginasi kolektif.
Agaknya kalau masyarakat Tamil di Malaysia boleh mengundi di Tamil Nadu mereka tentu akan mengundi Vijay.
Di sinilah naratif kuasa budaya bertemu imaginasi kolektif. Naratif menyediakan simbol dan cerita, manakala imaginasi kolektif menyuntik tenaga emosi dan kepercayaan.
Apabila kedua-duanya bersilang, lahirlah satu bentuk kepemimpinan kontemporari: merentas sempadan, diakui bukan kerana jawatan rasmi tetapi kerana pengalaman bersama, simbol dan naratif yang diterima.
Ia adalah kuasa yang tidak memerintah lebih jauh lagi membentuk kesedaran; kuasa yang tidak terikat perlembagaan sebaliknya diiktiraf melalui pengalaman emosi.
Akhirnya, kehadiran Vijay di Stadium Nasional Bukit Jalil bukan sekadar kisah seorang bintang dan peminatnya. Ia ialah cerminan politik budaya Tamil, populisme transnasional dan ketegangan antara kuasa budaya dan legitimasi institusi.
Ia menunjukkan bahawa dalam dunia kontemporari, kepemimpinan boleh lahir daripada imaginasi kolektif yang dibina melalui simbol, cerita dan pengalaman bersama, walaupun ia tidak semestinya diterjemahkan kepada kuasa formal.
Dalam konteks ini, persoalan utama bukan lagi “siapa yang memegang kuasa” tetapi “siapa yang menguasai makna” dan inilah mesej paling relevan dari malam fenomenal di Bukit Jalil itu.
ISMAIL HASHIM YAHAYA adalah pemerhati geopolitik dan hubungan antarabangsa, menggabungkan semiotik dan naratif sebagai lensa untuk memahami dan menjelaskan dinamika isu semasa.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
