Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) kerap muncul dalam wacana awam di Malaysia serta sering dibincangkan melalui perdebatan mengenai identiti kebangsaan, perpaduan
dan bahasa.
Penyokong berpendapat bahawa pengiktirafan UEC akan meluaskan akses ke universiti awam untuk graduan sekolah Cina persendirian, manakala pengkritik pula beranggapan ia boleh menjejaskan dasar pendidikan negara, khususnya peranan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar utama.
Walaupun perdebatan ini masih belum selesai, suara pelajar yang menduduki peperiksaan ini sering hilang ditelan polemik namun mereka tetap berpegang pada keputusan mereka walaupun wujud ketidakpastian.
Bagi sesetengah bekas calon UEC, sijil itu bukanlah penentu hidup mereka, tetapi hanya satu pilihan pendidikan daripada banyak pilihan lain, dengan kesan praktikal dan bukan ideologi.
Pengalaman pelajar UEC
Mengenang kembali pengajiannya pada 2011, Wong Wai Yong, 32, berkata sijil itu hanyalah sekadar soalan peperiksaan untuk dia medapatkan yang gred baik.
“Bagi saya, UEC hanyalah peperiksaan, dengan bahasa Cina sebagai medium pengantar utama.
“Ini tidak pernah membuat saya rasa berbeza; saya hanya melihat diri saya sebagai rakyat Malaysia biasa,” katanya dalam temubual dengan Malaysiakini.

Wong, yang melanjutkan pelajaran di Taiwan selepas menamatkan sekolah menengah, berkata jika diberi peluang semula dia mungkin tidak akan memilih UEC, setelah menyedari bahawa sijil SPM juga boleh digunakan untuk kemasukan ke program pra-universiti atau universiti di Taiwan.
Pandangan yang sama dikongsi oleh Ashley Lim, 31 (bukan nama sebenar), tetapi sebabnya dia tidak mengambil semula peperiksaan itu ialah kerana ia membuatkan dia terkurung dalam “gelembung” sendiri, menjadikannya kurang sedar tentang isu di luar lingkungan terdekatnya.
“Selepas saya belajar di universiti di Taiwan, saya perasan pelajar di sana aktif berjuang untuk reformasi sistem dan sukatan sekolah menengah mereka.
“Pada masa itu saya sedar bahawa saya tidak banyak tahu tentang isu sistem pendidikan di Malaysia.
“Dan apabila saya mula bekerja di Malaysia, saya perasan bahawa saya jarang mempunyai kawan berbilang kaum semasa zaman persekolahan, jadi saya terlepas banyak peluang untuk belajar tentang kepelbagaian budaya di Malaysia,” katanya.
Pilihan
Lim dan Wong berkata mereka sedar sepenuhnya tentang kekangan laluan UEC — khususnya kekurangan akses ke universiti awam, biasiswa kerajaan, dan jawatan perkhidmatan awam.
Namun, keputusan untuk meneruskan bukan berpunca daripada peperiksaan itu sendiri, tetapi daripada pilihan mereka untuk belajar di sekolah persendirian Cina.
Lim menjelaskan bahawa bagi banyak keluarga, sekolah sedemikian menawarkan pendidikan yang lebih teratur, di mana kehadiran, prestasi akademik, dan disiplin dijaga pada tahap tertinggi, mendorong ibu bapa membayar yuran lebih tinggi demi kualiti pendidikan yang lebih baik.
Untuk rekod, semua sekolah menengah pelbagai aliran menerima bantuan kewangan kerajaan sebelum 1961. Namun, selepas penggubalan Akta Pendidikan 1961, hanya sekolah berbahasa Melayu dan Inggeris dibenarkan meneruskan penerimaan peruntukan tersebut.
Sesetengah sekolah kemudiannya membuat keputusan sukar untuk mengikut dasar kerajaan dan ditukar menjadi sekolah menengah jenis kebangsaan Cina.

Sebaliknya, sesetengah sekolah memilih untuk kekal bebas bagi mengekalkan pendidikan berasaskan bahasa ibunda. Sekolah-sekolah ini akhirnya dikenali sebagai “sekolah persendirian Cina”.
Bantuan kerajaan untuk sekolah ini berubah-ubah sepanjang tahun. Semasa pentadbiran Pakatan Harapan, peruntukan dimasukkan ke dalam bajet persekutuan, dengan RM15 juta pada 2020 — peningkatan RM3 juta berbanding tahun sebelumnya.
Selepas pertukaran kerajaan pada 2020, peruntukan ini dihentikan dan bantuan disalurkan melalui peruntukan khas, dengan RM15 juta diberikan kepada 63 sekolah persendirian Cina di seluruh negara.
Tahun lalu, sekolah persendirian Cina menerima peruntukan RM18.9 juta, manakala peruntukan persekutuan tahun ini melebihi RM20 juta untuk 63 sekolah persendirian Cina di seluruh negara.
UEC dan Bahasa Melayu
Lim mengakui bahawa pilihannya mempunyai kelemahan, terutama dari segi penguasaan Bahasa Melayu, yang kemudian dirasakannya tidak memadai untuk bekerja.
“Saya boleh membaca dan mendengar, tetapi kerana persekitaran, saya tidak boleh bercakap atau menulis dengan baik. Jadi saya masih memperbaiki kemahiran ini sambil bekerja,” katanya.
Wong menekankan perkara yang sama, sambil menyatakan bahawa walaupun dia tidak mengeluh tentang pendidikannya, masih terdapat ruang besar untuk memperbaiki pengajaran Bahasa Melayu.
“Pada masa itu, pengajaran Bahasa Melayu berorientasikan peperiksaan, bergantung pada hafalan nota dan model jawapan, dan banyak terpisah daripada komunikasi sebenar.
“Walaupun saya mendapat C+ dalam SPM Bahasa Melayu, rakan sekerja Melayu sering mendapati pilihan perkataan saya terlalu seperti di dalam buku teks, menjadikan komunikasi kadang-kadang janggal,” keluhnya.

Penentang pengiktirafan UEC menekankan penguasaan Bahasa Malaysia sebagai alasan utama menolak sijil itu, dengan hujah bahawa pengajaran berbahasa Cina tidak selari dengan dasar pendidikan negara.
Namun, penyokong sekolah persnedirian Cina, Dong Zong, menangkis dakwaan itu dengan menyatakan bahawa lebih 96 peratus pelajar sekolah persendirian Cina lulus subjek Bahasa Melayu SPM.
Kumpulan ini menegaskan bahawa bahasa kebangsaan sudah menjadi komponen utama dalam sukatan UEC dan subjek wajib dalam kurikulum UEC.
Bagaimanapun, gred baik di atas kertas mungkin tidak mencukupi bagi penentang UEC.
Sebagai respons kepada usaha DAP mendapatkan pengiktirafan untuk peperiksaan itu, timbalan presiden Umno, Mohamad Hasan, berkata tiada keperluan untuk mengiktirafnya kecuali UEC menggunakan bahasa kebangsaan sebagai medium pengajaran.
Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, turut menekankan perkara yang sama dan menegaskan bahawa Bahasa Malaysia adalah medium pengantar utama dalam dasar pendidikan negara.
Pemimpin DAP membalas kritikan ini, dengan pengarah pendidikan politik parti itu, Howard Lee, menuduh Akmal membangkitkan isu perkauman dengan “menggunakan naratif palsu untuk menghasut ketegangan sosial.”

Lee berkata pendidikan pelbagai aliran dan berasaskan bahasa ibunda diamalkan secara meluas di peringkat antarabangsa, merujuk kepada Switzerland, Filipina, India, Kanada, Guatemala, dan beberapa kawasan di Eropah di mana pendidikan minoriti dan dwibahasa diinstitusikan dan dilindungi undang-undang.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim kemudian turut memberi pandangan dengan menyatakan bahawa dia tidak mempunyai masalah dengan bahasa lain di sekolah selagi penguasaan Bahasa Melayu tetap menjadi keutamaan. Ini termasuk isu UEC, yang menggunakan bahasa Cina sebagai medium pengajaran.
Lebih sedekad selepas UEC
Lebih sepuluh tahun selepas menduduki UEC, Wong dan Lim berkata peperiksaan itu kini hanyalah latar belakang dalam hidup mereka, digantikan oleh pengalaman universiti, pekerjaan, dan perkembangan peribadi.
Wong berkata majikan jarang menumpukan perhatian kepada latar belakang sekolah menengahnya, sebaliknya menilai kelayakan universiti dan prestasi kerja.
“Selain daripada tidak boleh masuk universiti awam atau menyertai perkhidmatan awam, saya tidak nampak banyak kesan langsung (mengambil UEC).
“Pemegang UEC masih boleh memohon sesetengah biasiswa, dan peluang pekerjaan dalam sektor swasta secara amnya tidak terjejas.
“Daripada pengalaman saya dan rakan-rakan, menjadi pemegang UEC tidak menyukarkan mencari pekerjaan,” katanya.

Dengan lebih banyak syarikat Cina menubuhkan operasi di Malaysia selari dengan perubahan perdagangan global, dia berkata kebolehan berkomunikasi dalam bahasa Cina dan Inggeris menjadi kelebihan tersendiri.
Lim berkongsi pengalaman serupa dengan menyatakan bahawa tiada majikan pernah mempersoalkan latar belakang pendidikannya. Tujuh tahun dalam kerjaya media dan perhubungan awam, dia berkata peluang kerjanya banyak dipengaruhi oleh kemahiran dan pengalaman, bukan peperiksaan yang diambilnya pada usia 18 tahun.
Menoleh ke belakang, kedua-duanya bersetuju bahawa penguasaan bahasa kebangsaan adalah penting bagi pelajar sekolah persendirian Cina kerana ia membuka lebih banyak peluang, terutama di dunia pekerjaan.
Wong berkata dia akan menasihati pelajar mengambil SPM bersama UEC, terutama untuk memastikan penguasaan Bahasa Malaysia lebih mantap dan mengekalkan pilihan masa depan.
“Tidak kira rancangan kerjaya, saya melihatnya sebagai tanggungjawab asas menjadi berpendidikan di Malaysia,” tambahnya.
Lim juga menggesa pelajar sekolah persendirian Cina untuk keluar daripada zon selesa mereka, khususnya dengan berinteraksi dengan komuniti berbilang kaum di luar sekolah.
“Jangan hanya bercakap dalam bahasa Cina, jangan hanya berkawan dalam kalangan Cina… Anda akan dapati dunia lebih menarik daripada yang dijangka,” kata Lim.
Bagi mereka, sijil itu tidak menentukan identiti atau masa depan. Ia cuma salah satu daripada banyak keputusan awal; ada kesannya, tapi pada akhirnya hanyalah permulaan.
Walaupun perdebatan tentang UEC berterusan, pengalaman Lim dan Wong menunjukkan bahawa di sebalik politik, kebanyakan pelajar melihat pendidikan sebagai cara untuk maju, bukan sebagai penanda identiti
