Kumpulan pelajar Universiti Malaya Association of New Youth (Umany) mendesak pihak pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendedahkan senarai tender perolehan universiti itu.
Tuntutan itu dibuat susulan siasatan terbaru oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap salah guna perolehan tender di universiti berkenaan.
Pada 21 Julai lalu, Jabatan Audit Negara (JAN) mendapati Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) gagal mematuhi prosedur pematuhan bagi sekurang-kurangnya tiga proses perolehan tender bernilai RM58.45 juta.
“Menurut laporan Jabatan Audit, daripada 165 tender perolehan yang diluluskan oleh Jawatankuasa Tender UKM pada tahun 2024, hanya tujuh yang diaudit oleh Jabatan Audit. Daripada tujuh tender yang diaudit itu, tiga didapati gagal mematuhi prosedur.
“Ini menunjukkan kadar ketidakpatuhan yang membimbangkan iaitu 42.86 peratus. Besar kemungkinan tender-tender lain yang tidak diaudit menyembunyikan salah guna kuasa atau rasuah pada skala yang lebih besar.
“Memandangkan pembiayaan universiti awam sebahagian besarnya datang daripada pembayar cukai, orang ramai berhak untuk mengetahuinya,” kata Umany dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Pengarah Bahagian Penyiasatan Tatakelola SPRM, Zaki Hassan, memberitahu pemberita pihaknya akan menumpukan siasatan terhadap ketidakpatuhan perolehan dan kelemahan prosedur seperti yang digariskan dalam laporan audit yang diterbitkan pada Julai.
Pada 22 Nov lalu, SPRM turut memaklumkan siasatan terhadap proses perolehan tender itu akan dimulakan dan lima individu telah dipanggil untuk memberi keterangan.
Audit forensik bebas
Dalam kenyataan yang sama hari ini, Umany turut menggesa supaya audit forensik bebas dilaksanakan bagi perolehan universiti pada masa hadapan, dengan alasan audit dalaman tidak mencukupi kerana tanggungjawabnya berada di bawah pengurusan yang sama.
Kumpulan itu menggesa supaya laporan forensik bebas dikemukakan terus kepada lembaga pengarah universiti dan seterusnya didedahkan kepada penelitian awam.

Selain itu, Umany turut menyeru kerajaan supaya mereformasi undang-undang sedia ada berkaitan rasuah dan kronisme, serta mencadangkan penubuhan sebuah badan bebas bagi pengagihan dana kepada universiti awam.
Dengan merujuk kepada Jawatankuasa Geran Universiti Hong Kong sebagai contoh, kumpulan itu mencadangkan agar dana kerajaan disalurkan kepada badan bebas tersebut, yang kemudiannya mengagihkan dana secara telus kepada universiti awam.
“Badan ini juga bertindak sebagai badan pemantau, yang mewajibkan universiti mengemukakan dokumen tender dan cadangan kepada badan tersebut serta perunding teknikalnya untuk kelulusan sebelum kontrak projek modal bernilai tinggi dianugerahkan.
“Badan bebas seperti ini mampu mencegah pertumbuhan rasuah dan kronisme dengan berkesan.
“Kami juga menggesa kerajaan supaya segera mereformasi proses perolehan universiti awam dengan membenarkan badan bebas mengendalikan proses tersebut, sekali gus menamatkan rasuah dan kronisme,” tambah mereka.
