Tindakan mempersoalkan pandangan dan teguran mufti tidak sepatutnya berlaku sekiranya segelintir ahli politik memahami peranan yang dimainkan golongan itu.
Adun lantikan Pahang, Ahmad Irshadi Abdullah Al-Qari, berkata institusi mufti mempunyai kedudukan yang jelas dan penting dalam Islam sebagai rujukan ilmu serta panduan syarak kepada umat Islam dan pemerintah.
"Justeru, hak serta tanggungjawab mufti untuk menyuarakan pandangan tidak seharusnya dipersoalkan atau disempitkan atas pertimbangan politik," katanya ketika dihubungi Malaysiakini di Kuantan, hari ini.
Dia mengulas demikian ketika ditanya berkaitan kenyataan dibuat Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil mengenai golongan mufti sering berdepan kecaman setiap kali tampil memberi pandangan, sedangkan peranan utama mereka adalah untuk menasihati masyarakat dan pemerintah tanpa sebarang kepentingan politik atau jawatan.
“Sepatutnya berilah ruang untuk mufti berbicara kerana mereka diberi peranan untuk menasihati, tidak ada kepentingan untuk berebut jawatan atau bertanding,” kata Ahmad Fauwaz menerusi hantaran di Facebook baru-baru ini.
Hantaran berkenaan turut memaparkan kenyataan Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin berhubung saranan pihak tertentu supaya mufti hanya bercakap soal agama dan tidak mengulas mengenai hal politik.

Sebelum ini, Mohd Asri mengulas kewujudan sumpah baiah yang dikenakan oleh sebuah parti politik terhadap pemimpin mereka, yang dipercayai merujuk kepada PAS susulan krisis politik dalam Perikatan Nasional di Perlis.
Mengulas lanjut, Ahmad Irshadi yang juga pengasas Maahad Tahfiz Tengku Ampuan Afzan Pekan menjelaskan peranan mufti sebagai penyampai kebenaran dan pemberi nasihat berasaskan ilmu adalah selari dengan tuntutan syarak.
"Ia sebagaimana firman Allah dalam Surah an-Nahl ayat 43 yang bermaksud 'Maka bertanyalah kepada ahli zikr jika kamu tidak mengetahui'.
"Dan jika merujuk kepada hadis Rasulullah SAW pula, baginda menyebut bahawa para ulama adalah pewaris para nabi, sekali gus menegaskan amanah besar yang dipikul oleh golongan ilmuwan agama dalam membimbing umat dan menasihati pemerintah," katanya.
Ahmad Irshadi memaklumkan, para ulama muktabar seperti Imam al-Nawawi sentiasa menegaskan bahawa menasihati umat dan pemerintah adalah sebahagian daripada tanggungjawab agama.
Oleh itu, katanya, peranan ini tidak wajar dinafikan hanya kerana perbezaan pandangan.
"Walaupun perbezaan pandangan diakui sebagai perkara lumrah, mempertikai ruang bicara mufti disifatkan bercanggah dengan tradisi keilmuan Islam.
"Sebarang ketidaksetujuan seharusnya dijawab dengan hujah yang beradab dan berlandaskan ilmu, bukannya dengan menafikan autoriti institusi agama," jelasnya.
Dia turut menekankan kepentingan menjaga kehormatan institusi agama sebagai prinsip penting demi kestabilan dan kesejahteraan negara.
"Ahli politik wajar menghormati institusi mufti dan menunjukkan teladan yang baik kepada masyarakat.
“Jangan apabila pandangan mufti tidak selari dengan kehendak atau kepentingan parti tertentu, maka ia ditentang.
"Namun, apabila pandangannya selari, mufti dipuji... sikap sedemikian tidak wajar kerana ia hanya merugikan keharmonian umat Islam secara keseluruhannya,” ujarnya.
