Ketua Bersatu Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin, mendakwa Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin mengetahui kewujudan kartel dalam angkatan tentera.
Badrul, yang lebih dikenali sebagai Chegubard, berkata dia telah melihat dokumen yang dengan jelas menunjukkan Anwar dan Khaled tahu mengenainya.
“Hanya Menteri Pertahanan dan PM yang tahu, sebab beberapa dokumen ada nota - ia telah sampai kepada pengetahuan PM dan Menteri Pertahanan.
“Hanya mereka yang boleh jawab,” katanya semasa sidang media di luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya hari ini.
Dia membuat laporan polis berhubung penemuannya dan bagi menyerahkan dokumen yang diperolehinya.
Sebelum ini, Badrul mendakwa semakan forensik terhadap dokumen yang diterimanya menunjukkan transaksi bulanan berjumlah puluhan ribu ringgit dimasukkan ke akaun seorang pegawai kanan tentera dan ahli keluarganya.
Ia menyebabkan pelantikan Panglima Tentera Darat Hafizuddeain Jantan sebagai Panglima Angkatan Tentera yang baru ditangguhkan, walaupun pelantikan itu telah diputuskan dalam mesyuarat Majlis Angkatan Tentera dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Minggu lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan bahawa seorang pegawai kanan tentera sedang disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
SPRM turut menyita enam akaun bank yang dipercayai milik seorang pegawai kanan angkatan tentera dan ahli keluarganya. Sumber SPRM juga memaklumkan Bernama mengenai penggeledahan di pejabat angkatan tentera di Kementerian Pertahanan serta kediaman rasmi suspek.
‘Ekosistem kartel’
Mengulas lanjut, Badrul mendakwa wujud satu “ekosistem” kartel dalam angkatan tentera.
“Contohnya, bahagian logistik menyusun tender untuk orang mereka, bahagian sumber manusia menyusun kenaikan pangkat dan meletakkan orang mereka menerajui jawatan-jawatan penting.
“Bahagian perancangan pertahanan menentukan spesifikasi tender selaras dengan peralatan syarikat-syarikat yang terpilih. Ini memang sudah ada,” dakwanya.
Badrul turut mencabar Presiden Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas), Sabri Zali — yang turut dikaitkannya — agar memfailkan saman terhadapnya atas alasan khusus, seperti penerbitan dokumen dan imej palsu.

Katanya, Sabri menjadi fokus pendedahan yang dibuatnya antara Mei hingga Ogos 2024, yang menurutnya telah menghalang Sabri daripada dilantik sebagai panglima tentera laut.
Hari ini, Sabri berkata dia akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Badrul, dan akan mengambil tindakan sama terhadap sesiapa sahaja yang menerbitkan atau menyiarkan semula kenyataan berunsur fitnah mengenainya.
Terdahulu hari ini, semasa sidang media di IPD Dang Wangi, Badrul menyatakan rasa terkejutnya apabila dimaklumkan Sabri telah dilantik sebagai Presiden Puspahanas.
“Memang ada bukti didedahkan kepada umum. Macam mana ATM boleh simpan lagi pegawai macam ini?
“Bukannya sebagai anggota yang jaga pintu, kedudukannya adalah pengerusi yang melatih pegawai-pegawai tentera lain,” katanya lagi.
