Bekas Pengarah Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bahri Zin, memuji Ketua Polis Daerah Bachok, Ismail Jamaluddin kerana mengambil tindakan terhadap anggota polis yang didakwa terlibat dalam kes rasuah dalam satu kejadian pada 30 Disember lalu.
Menurut Bahri, seorang ibu dari Kuala Nerus, Terengganu mengadu kepadanya dengan mengatakan anak lelakinya ditahan sekumpulan anggota polis di Bachok, Kelantan kerana disyaki memiliki dadah.
Anggota terbabit didakwa meminta RM6,000 daripada wanita berkenaan dan mengugut anaknya akan dipenjarakan serta didakwa keesokan harinya jika bayaran tidak dibuat sebelum tengah malam.
Bahri berkata selepas mendapat aduan daripada wanita itu, dia telah menggunakan seorang awam yang juga rakannya untuk menghubungi Ismail bagi memaklumkan kejadian berkenaan.
"Waktu diberitahu kejadian sudah mendekati jam 12 malam, saya boleh sahaja refer kes ini kepada SPRM tapi memandangkan suspek-suspek telah menetapkan masa terlalu singkat dan mustahil untuk SPRM bertindak memasang perangkap, maka saya memutuskan untuk refer sahaja kes ini kepada Balai Bachok untuk menyelesaikannya.
"Anggota-anggota tersebut dengan tegas mengatakan jam 12 malam jika tak diserahkan wang RM6,000 anaknya (wanita itu) akan dimasuk lokap dan esoknya akan didakwa.
"Tak sampai setengah jam kawan saya melaporkan balik yang ketua polis Bachok telah berjaya mengenal pasti anggotanya yang terlibat dan pada malam tu juga tindakan diambil dan wang ibu malang tersebut berjaya dirampas dan dikembalikan kepada pemilik asal.
"Saya difahamkan wang tersebut telah dipinjam dari saudara-saudara ibu malang tersebut untuk mencukupkan RM6000 sebagaimana diperas oleh anggota polis Bachok berkenaan," kata Bahri.

Menurut Bahri dia berasa amat berbangga dengan tahap integriti yang ditunjukkan Ismail sehingga berjaya menyelesaikan kes tersebut dengan pantas.
"Saya merasa bangga dengan tindakan ketua balai Bachok yang amat cekap berintegriti tinggi dan menyelesaikan masalah yang dihadapi ibu malang tersebut dengan amat pantas sekali, walaupun maklumat disampaikan oleh orang-orang biasa sahaja.
"Inilah sekelumit contoh penguatkuasa yang beramanah yang amat diperlukan oleh negara kita, saya yakin dan percaya denga adanya individu sepertinya akan mengharumkan nama pasukan Polis Diraja Malaysia,” kata Bahri dalam satu kenyataan yang diedarkan menerusi WhatsApp semalam.
Contoh teladan kepada pasukan polis
Bahri turut menyatakan harapan agar sikap yang ditunjukkan Ismail dapat dijadikan contoh teladan oleh anggota polis di seluruh negara.
“Saya yakin dengan adanya individu seperti beliau, reputasi pasukan polis akan bertambah baik dan imej negara juga akan meningkat.

"Saya yakin dan percaya dengan adanya individu sepertinya akan mengharumkan nama pasukan Polis Diraja Malaysia dan mengangkat nama negara.
"Bayangkan seandainya ia berlaku kepada mereka yang tak mengenali sesiapa atau kepada pelancong asing, alangkan cemarnya imej polis dan negara kita.
"Semoga secebis kesah di larut malam pada 30 Disember 2025 ini menjadi teladan inspirasi kepada lain-lain anggota polis seluruh negara kita," katanya.
Ketika dihubungi Malaysiakini, Ismail mengesahkan bahawa anggota polis yang terlibat sedang disiasat.
“Siasatan dalaman sedang dijalankan dan tindakan tatatertib akan diambil,” katanya.
