Polemik dalam PN dilihat semakin meruncing apabila PAS masih belum menamakan calon bagi jawatan pengerusi gabungan itu, kata Setiausaha Agung Amanah, Muhammad Faiz Fadzil.
Dalam satu kenyataan hari ini, Faiz menyindir sikap PAS yang menurutnya berterusan berteka-teki mengenai kepimpinan PN, dengan menyamakan situasi tersebut seperti program realiti televisyen Akademi Fantasia (AF).
AF yang pernah popular suatu ketika dahulu, merupakan rancangan realiti TV di mana juaranya ditentukan melalui penyingkiran peserta lain setiap minggu.
“Teka-teki ini ibarat program realiti tv ‘Akademi Fantasia’ yang dahulunya ditunggu-tunggu penonton setiap minggu untuk melihat siapa bakal terkeluar.
“Sedangkan, dalam keadaan bıasa, presıden parti yang akan mengetuai sesuatu pakatan dan seterusnya dinamakan calon perdana menterı (PM). Ini menunjukkan betapa lemahnya PAS,” kata anak kepada bekas presiden PAS itu.
Muhyiddin Yassin pada 30 Disember lalu mengumumkan peletakan jawatannya sebagai pengerusi PN, ketika ketegangan antara PAS dan Bersatu semakin memuncak.

Ini selepas pemimpin Bersatu di Perlis memulakan usaha menyingkirkan Menteri besar daripada PAS, Mohd Shukri Ramli.
Pengumuman Muhyiddin mencetuskan siri peletakan jawatan oleh pengerusi-pengerusi Bersatu negeri, termasuk setiausaha agung parti itu, Azmin Ali selaku pengerusi PN Selangor, dan timbalan presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu, selaku pengerusi PN Perak.
Setakat ini, PAS masih berdiam diri mengenai siapa dalam kalangan pemimpinnya yang akan menggantikan Muhyiddin, yang menerajui PN sejak gabungan itu ditubuhkan pada 2020.
‘Empat lori calon’
Mengulas lanjut, Faiz turut mempersoalkan dakwaan PAS bahawa parti mempunyai ramai calon yang layak menjadi perdana menteri.

“Walaupun disebut sebelum ini bahawa terdapat ramai calon sehingga empat lori, hakikatnya PAS masih tercari-cari dalam kegelapan. PAS dilihat hanya kuat dalam lingkungan parti sendiri, tetapi gagal memimpin sebuah pakatan, apatah lagi untuk diketengahkan sebagai calon perdana menteri,” katanya.
Mengulas struktur pentadbiran negara, Faiz berkata kestabilan politik memerlukan ketua parti utama mengetuai pakatan dan kerajaan.
Faiz merujuk kepada pengalaman pentadbiran bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob, yang menurutnya rapuh kerana presiden parti ketika itu tidak berada dalam kerajaan.
Ini katanya berbeza dengan Kerajaan Perpaduan hari ini yang dianggap lebih stabil apabila Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, terlibat secara langsung sebagai timbalan perdana menteri.
Menurut Faiz, kegagalan PAS menamakan presidennya sebagai pengerusi PN berisiko mewujudkan ketidakstabilan dalam gabungan tersebut dan menjadi petunjuk negatif kepada pengundi menjelang pilihan raya umum akan datang.
Dalam masa sama, Faiz menegaskan bahawa dia menghormati Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dan berpendapat tiada tokoh lain dalam PAS yang setanding untuk memegang jawatan tersebut.
“PAS mendakwa perjuangannya berteraskan Islam dan kepimpinan ulama perlu diteruskan. Namun, PAS tidak mempunyai tokoh ulama sehebat Tan Sri Abdul Hadi Awang,” katanya.
Walaupun menyifatkan pindaan Akta 355 tidak lagi diberi keutamaan oleh PAS, Faiz berkata idea itu mencerminkan perjuangan Islam yang dibawa Abdul Hadi.
“Apabila PAS meminggirkan presiden bertaraf ulama ini, maka perjuangan Islam yang dilaungkan PAS sudah kehilangan maknanya,” katanya.
