Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Doktor dibenar terus berkhidmat walaupun sijil tahunan lewat
Diterbitkan:  Jan 3, 2026 12:10 PM
Dikemaskini: 4:10 AM

Semua doktor di Malaysia yang Sijil Amalan Tahunan (APC) mereka masih diproses oleh Majlis Perubatan Malaysia (MMC) dibenarkan terus berkhidmat tanpa sebarang tindakan akan diambil terhadap mereka.

Dalam satu kenyataan, MMC memohon maaf atas kelewatan pengeluaran APC tahun ini ketika MMA berkata ‘puluhan ribu’ doktor kini berada dalam dilema etika dan undang-undang.

MMC berkata kelewatan itu berlaku susulan peningkatan mendadak permohonan yang diterima pada penghujung 2025, terutamanya permohonan yang disertakan dengan dokumen sokongan yang diterima lewat.

“MMC, melalui pekeliling bertarikh 3 Januari, telah bersetuju bahawa mana-mana pengamal perubatan yang telah memohon, membuat pembayaran, dan mematuhi syarat di bawah Seksyen 20 Akta Perubatan 1971 dan Peraturan 28 Peraturan-Peraturan Perubatan 2017 sebelum atau pada 31 Disember 2025, tetapi masih belum menerima APC 2026 kerana permohonan masih diproses dalam sistem MeRITS, dibenarkan untuk terus mengamalkan profesion mereka tanpa tindakan sehingga sijil APC dikeluarkan,” kata majlis itu.

“(Ini) dengan syarat pengamal perubatan tersebut tidak tertakluk kepada sebarang sekatan, penggantungan, atau larangan daripada amalan di bawah mana-mana peruntukan lain Akta Perubatan 1971,” tambahnya.

MMC turut menyatakan bahawa tarikh berkuat kuasa APC bermula pada 1 Januari atau pada tarikh perlindungan profesional aktif dan bukan pada tarikh kelulusan atau tarikh sijil dikeluarkan.

Semalam, portal kesihatan CodeBlue melaporkan bahawa Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) mendesak MMC membenarkan doktor yang terkesan terus berkhidmat akibat kelewatan kelulusan APC bagi 2026.

Presiden APHM, Dr Kuljit Singh, berkata persatuan itu berkongsi kebimbangan mengenai kelewatan tersebut yang menurutnya mempunyai implikasi undang-undang kepada pengamal perubatan yang terjejas.

“Bagi doktor yang menghantar permohonan APC mereka mengikut tarikh akhir yang ditetapkan pada 30 November 2025, kelewatan pengeluaran APC adalah di luar kawalan mereka,” kata Kuljit.

Dia menambah bahawa APHM telah secara rasmi menulis kepada MMC – yang dipengerusikan oleh presidennya, Dr Mahathar Abd Wahab, yang juga merupakan Ketua Pengarah Kesihatan – untuk memberi kelonggaran sementara bagi doktor yang terjejas.

Namun, menurut CodeBlue, kebenaran MMC mungkin tidak sepenuhnya melindungi doktor atau hospital daripada tuntutan kesilapan perubatan, dan liputan perlindungan mungkin tidak sah sepanjang tempoh itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS