Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres, pada Jumaat menggesa Israel supaya menarik balik keputusannya membatalkan lesen operasi puluhan pertubuhan bantuan antarabangsa, lapor Agensi Berita Jerman dpa.
Langkah itu akan memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang dihadapi rakyat Palestin, amaran Guterres menurut jurucakapnya, Stephane Dujarric.
Pihak berkuasa Israel telah mengarahkan kumpulan bantuan supaya mendaftar bermula Khamis, 1 Jan, satu keperluan yang ditolak oleh banyak pertubuhan kerana dianggap tidak sah di sisi undang undang.
Menurut Kementerian Luar Israel, pertubuhan terbabit mesti menghentikan aktiviti mereka menjelang Mac. Arahan itu turut menjejaskan operasi di Semenanjung Gaza, yang sebahagian besarnya musnah akibat perang antara Israel dan kumpulan Palestin Hamas.
Sebanyak 37 pertubuhan terjejas, termasuk Doctors Without Borders dan Oxfam.

Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Oxfam bagi pihak 53 pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa, kumpulan berkenaan menggesa Israel supaya segera menghentikan proses pembatalan pendaftaran dan menarik balik langkah yang menghalang bantuan kemanusiaan.
Kenyataan itu turut menggesa kerajaan penderma supaya menggunakan segala pengaruh yang ada bagi memastikan penggantungan dan pembatalan tindakan berkenaan.
Ancaman Israel untuk menafikan pendaftaran kepada kumpulan bantuan merupakan satu usaha sinis dan terancang bagi menghalang pertubuhan daripada menyediakan perkhidmatan di Gaza dan Tebing Barat, menurut Doctors Without Borders dalam satu kenyataan berasingan, sambil menegaskan bahawa Israel telah melanggar tanggungjawabnya di bawah undang undang kemanusiaan antarabangsa.
Kementerian Luar Israel pula menyatakan bahawa proses pendaftaran itu bertujuan mencegah penglibatan unsur pengganas dan melindungi integriti kerja kemanusiaan.
- Bernama -dpa
