Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kenapa tiada polis direman dalam kes tembak mati di Durian Tunggal?'

Peguam mewakili keluarga mangsa dalam insiden membabitkan tiga lelaki ditembak mati oleh polis di Durian Tunggal, Melaka pada November lalu mempersoalkan sikap ‘dwi-standard’ pihak berkuasa itu.

Ketika menyerahkan memorandum di luar ibu pejabat Polis Bukit Aman hari ini, peguam N Rajesh, Zaid Malek serta aktivis sosial, Arun Dorasamy menghuraikan tuntutan memorandum tersebut, antaranya menuntut agar pegawai polis yang terlibat dalam insiden itu segera ditangkap dan didakwa.

Mereka menegaskan bahawa tiada seorang pun daripada suspek direman walaupun kes itu baru-baru ini diklasifikasikan sebagai kes bunuh.

“Walaupun kes ini telah diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan sebagai kes bunuh, tiada seorang pun pegawai polis yang terlibat direman atau ditangkap setakat ini.

“Tiada tindakan diambil dan tiada siapa didakwa. Ini jelas bercanggah dengan prosedur operasi standard (SOP) biasa polis, di mana suspek kes bunuh akan segera direman… Begitulah sepatutnya, namun dalam kes ini, tiada siapa direman. Jadi mengapa wujud dwi-standard?” kata Rajesh.

Pada 24 Nov lalu, tiga lelaki berusia antara 24 hingga 29 tahun dilaporkan ditembak mati di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal kira-kira jam 4.30 pagi selepas salah seorang daripada mereka didakwa mengacukan parang ke arah seorang anggota polis, sekali gus mencederakan seorang koperal di lengan kirinya.

Keluarga mangsa kemudiannya menafikan dakwaan tersebut, mendorong pihak polis menubuhkan satu pasukan petugas khas bagi menyiasat insiden berkenaan.

‘Layanan istimewa’

Pada 16 Dis, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengklasifikasikan semula insiden itu sebagai kes bunuh selepas meneliti laporan polis.

Pengarah Lawyers for Liberty, Zaid yang turut hadir hari ini menegaskan bahawa pegawain dan anggota terlibat masih belum digantung tugas walaupun dilaporkan sebagai suspek dalam siasatan kes bunuh.

“Hakikat bahawa pihak polis mengeluarkan kenyataan menyatakan pegawai-pegawai berkenaan ‘tidak lagi bertugas secara aktif’ bermakna mereka sebenarnya masih belum digantung tugas dan masih bekerja,” katanya.

Zaid berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, M Kumar, pada 29 Disember, yang memaklumkan bahawa anggota dan pegawai polis terbabit tidak terlibat dalam sebarang penugasan aktif ketika ini.

“Sebagai seorang peguam, saya ingin menegaskan bahawa kerajaan telah berjanji untuk menjalankan siasatan yang menyeluruh dan telus, namun apa yang kita lihat masih wujud layanan istimewa dan layanan berbeza apabila polis terlibat dalam jenayah seperti ini.

“Jika rakyat biasa melakukan jenayah sebegini, adakah mereka juga akan dilayan dengan cara yang sama? Rakyat berhak mendapat jaminan bahawa pihak polis dan berkuasa juga akan disiasat jika melakukan jenayah, namun itulah yang tidak kita saksikan hari ini.

“Ini adalah perkara serius dan rakyat berhak diyakinkan bahawa undang-undang mesti sentiasa dilaksanakan secara adil dan saksama,” tegasnya.

Tiada perkembangan daripada pasukan petugas khas

Aktivis sosial Arun turut menegaskan bahawa sehingga kini tiada sebarang perkembangan dimaklumkan mengenai pasukan petugas khas yang ditubuhkan oleh polis ketika kes itu mula didedahkan kepada umum pada November tahun lalu.

“Sehingga hari ini, kita tidak tahu siapa yang mengetuai pasukan petugas ini, siapa lagi yang terlibat dan apakah yang sedang mereka lakukan.

“Walaupun kami telah membuat laporan polis sendiri dan menyerahkan bukti yang diperlukan, kami masih belum dipanggil untuk memberikan kenyataan sebagai saksi bagi membantu siasatan,” katanya.

Selain mendesak penangkapan dan penggantungan tugas segera pegawai polis yang terlibat, kumpulan itu turut mengemukakan tiga tuntutan lain, termasuk penggantungan atau pertukaran serta-merta Ketua Polis Melaka sepanjang siasatan dijalankan.

Mereka juga menggesa agar Ketua Polis Melaka disiasat atas dakwaan campur tangan dalam siasatan, selain menuntut siasatan dilancarkan terhadap dakwaan pengubahan atau gangguan terhadap bahan bukti.

Memorandum tersebut yang dtandatangani peguam Zaid, Rajesh dan Arun diserahkan kepada seorang wakil dari Bukit Aman kira-kira jam 10.30 pagi tadi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS