Amerika Syarikat (AS) dilapor melancarkan serangan ke atas Venezuela dan menahan Presiden Nicolas Maduro dan isterinya, yang kemudian dibawa keluar dari negara itu.
Presiden Donald Trump memaklumkan perkara itu pada satu hantaran di platform Truth Social.
“Amerika Syarikat telah berjaya melaksanakan satu serangan berskala besar ke atas Venezuela dan pemimpinnya, Presiden Nicolas Maduro, yang telah ditangkap bersama isterinya dan diterbangkan keluar dari negara itu,” kata Trump.
Setakat ini, kerajaan Venezuela dilaporkan telah mengistiharkan darurat nasional.

Ini merupakan campur tangan langsung pertama AS di Amerika Latin sejak pencerobohan ke atas Panama pada 1989 bagi menggulingkan pemimpin tentera Manuel Noriega.
AS sebelum ini menuduh Maduro mengendalikan sebuah “negara narkotik” serta memanipulasi pilihan raya.
Pemimpin Venezuela itu, yang menggantikan Hugo Chavez dan mengambil alih kuasa pada 2013, pula berkata Washington berniat menguasai rizab minyak negaranya yang disifatkan terbesar di dunia.
Terdahulu, beberapa letupan dilaporkan berlaku di ibu negara Venezuela, Caracas.
Imej yang disiarkan oleh stesen televisyen NTN24 menunjukkan kejadian letupan serta kepulan asap.
Sebuah video daripada saluran VPItv pula memaparkan beberapa helikopter terbang di ruang udara bandar itu pada waktu malam.
