Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh menyifatkan resolusi dibuat pada Konvensyen Khas Pemuda Umno yang berlangsung semalam, adalah hak setiap parti dalam Kerajaan Perpaduan.
Fuziah berkata, setiap parti politik juga bebas untuk memilih rakan strategik mereka, berdasarkan alasan masing-masing.
"Setiap parti politik bebas untuk (memilih) apa orang kata.. rakan strategik mereka, ada yang memilih yang sehaluan dan ada yang memilih yang berbeza pemikiran, masing-masing ada alasan dan sebab tertentu.
"Bagi yang memilih (rakan strategik) berbeza (pemikiran), mungkin untuk meluaskan capaian mereka.
"Apa pun, kami di Kerajaan Madani akan memperkukuhkan hubungan antara (parti) dalam Kerajaan Perpaduan dan Kerajaan Madani," katanya.
Fuziah berkata demikian ketika ditemui media selepas program serahan baucar kembali ke sekolah 2026 di Kuantan, Pahang, hari ini.

Semalam Konvensyen Khas Pemuda Umno antara lain menggesa parti itu segera membentuk penyatuan dengan PAS yang berpaksikan kepada komitmen menjaga serta melindungi agama dan bangsa.
Ketua pemudanya, Akmal Salleh tanpa berlapik turut menggesa parti itu meninggalkan kerajaan perpaduan dan menjadi pembangkang bagi membina kembali kekuatan parti mereka.
Dalam sidang media selepas itu Akmal berkata, setiap usul dan cadangan dalam konvensyen khas itu akan dibawa ke peringkat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno.
Dia bagaimanapun menjelaskan mereka menolak sebarang usaha merampas kuasa dan 'menebuk atap' sehingga mengakibatkan kerajaan sedang memimpin negara ketika ini tumbang.
Dalam pada itu, Fuziah ketika ditanya mengenai cabaran terhadap kestabilan Kerajaan Perpaduan jika Umno mengambil keputusan untuk bekerjasama dengan PAS memberitahu, perkara itu bergantung kepada pemahaman dan penilaian pihak berkenaan.
"Itu terbuka untuk terjemahan masing-masing," katanya ringkas.
