Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman denda RM2,000 ke atas Adun Kijal, Razali Idris, kerana membuat kenyataan berbaur hasutan dalam ucapannya tiga tahun lalu.
Hakim Norma Ismail membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Razali, 59, gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.
“Tertuduh diperintahkan menjalani hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda,” katanya.
Razali yang juga bekas ketua penerangan Bersatu didakwa melakukan kesalahan itu di Padang Astaka Chukai, Kemaman, Terengganu pada 10 Nov 2023.
Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya.
Exco kerajaan negeri Terengganu itu didakwa mempersoalkan perbezaan layanan yang diterima oleh Timbalan Perdana, Menteri Ahmad Zahid Hamidi dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, selepas Zahid dilepas tanpa dibebaskan daripada 47 pertuduhan rasuah. Syed Saddiq pula disabitkan dengan kesalahan pecah amanah jenayah.
Hakim Norma juga memerintahkan Razali menjalani hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Izzat Amir Idham memohon agar Razali dihukum penjara kerana kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius.
“Pihak pendakwaan memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal, tegas dan berkesan terhadap tertuduh...
“Pihak pendakwaan berhujah bahawa hukuman berbentuk denda semata-mata adalah tidak memadai kerana tidak mencerminkan keseriusan kesalahan yang dilakukan tertuduh.
“Ini kerana tertuduh merupakan seorang individu berkedudukan tinggi serta berpengaruh, dan hukuman denda berpotensi dilihat sebagai satu beban yang boleh ditanggung tanpa memberikan kesan pencegahan yang sebenar,” katanya.
Izzat Amir juga berkata dalam kes ini, tertuduh bukan seorang individu biasa kerana beliau merupakan seorang Adun dan pemimpin politik yang dipilih oleh rakyat serta memegang amanah awam.
Peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud, yang mewakili Razali, pula memohon supaya anak guamnya tidak dihukum penjara atas alasan beliau telah menabur jasa dalam politik di negara ini.
“Dalam kes ini, tidak timbul isu keselamatan negara dan ketenteraman awam kerana (kenyataan) tersebut tidak memberikan kesan kepada masyarakat.
“Hukuman pemenjaraan melebihi 12 bulan atau denda melebihi RM2,000 akan menyebabkan tertuduh hilang kelayakan sebagai Adun selaras dengan Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan sekali gus menyebabkan PRK (Pilihan Raya Kecil) perlu diadakan,” katanya.
Dia juga berkata kepentingan awam perlu dilihat secara menyeluruh termasuk keperluan menjimatkan perbelanjaan negara.
Pendakwaan mengemukakan empat saksi manakala pembelaan memanggil empat saksi untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes yang bermula pada September 2025.
Razali, kemudian membayar denda berkenaan.
