Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menantu Hadi mengaku tidak bersalah sertai perhimpunan haram
Diterbitkan:  Jan 5, 2026 12:17 PM
Dikemaskini: 5:08 AM

Ketua PAS Sungai Buloh, Zaharudin Muhammad, hari ini didakwa di Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur, atas pertuduhan menyertai perhimpunan haram di Kampung Sungai Baru pada September tahun lalu.

Zaharudin yang juga menantu Presiden PAS Abdul Hadi Awang, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa bersama-sama tujuh individu lain menyertai perhimpunan yang menyalahi undang-undang bagi menentang proses Notis Pengosongan No WA-37WP-26-06/2025.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Datuk Abdul Malik, Kampung Sungai Baru pada 11 September 2025.

Oleh itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 145 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Wirna Arifin mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, Zaharudin yang diwakili peguam, Latheefa Koya memohon jumlah ikat jamin yang lebih rendah dengan dengan alasan anak guamnya perlu menyara keluarga dan anak-anak.

Hakim Farah Nabihah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000. Mahkamah menetapkan 24 Februari ini sebagai sebutan semula kes

Malaysiakini pada 15 September lalu melaporkan Zaharudin, 49 ditahan kerana membantah dan mengkritik kerajaan berhubung pengusiran 15 isi rumah di Kampung Sungai Baru bagi memberi laluan kepada pembangunan semula.

Sebelum itu, ketika pengusiran sedang dijalankan dia juga menyiarkan video yang mengatakan pengambilan tanah itu tidak berbeza dengan apa yang berlaku di Gaza.

Pada 4 Sept, Zaharudin mendakwa banyak video TikToknya telah dialih keluar kerana mempertahankan Kampung Sungai Baru.

Perbincangan antara pemaju dan penduduk Kampung Sungai Baru mengenai pembangunan semula bermula pada 2016, dengan kerajaan kemudiannya memainkan peranan dalam merundingkan pembayaran pampasan.

Pengambilalihan di bawah Akta Pengambilan Tanah telah diwartakan pada Jun 2021 ketika Perikatan Nasional (PN) memerintah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS