Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengulangi peringatan kepada pihak berkuasa supaya tidak melampaui batas dalam proses melaksanakan tugas, ketika rungutan semakin meningkat mengenai dakwaan salah laku mereka.
Anwar berkata bahawa walaupun dia sebelum ini telah menyampaikan mesej tersebut kepada pihak berkuasa yang berkaitan, peringatan itu perlu diulang. Perdana Menteri tidak menjelaskan sebab-sebab di sebalik kenyataannya mengenai perkara itu.

“Satu perkara yang harus diperingat ke badan-badan penguatkuasaa, PDRM (polis), SPRM, LHDN, (Lembaga Hasil Dalam Negeri) dan agensi sempadan.
“Harus diingat, sementara harus bertindak keras dan tegas menentang perasuah dan penjenayah, harus juga hormat jalur hukum.
“Kita juga harus lebih bertanggungjawab mematuhi peraturan dan jangan langgar peraturan, telah sampaikan peringatan dan perlu diulang,” kata Anwar semasa ucapannya di perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.
Sebelum ini, pelbagai pihak menggandakan gesaan mereka untuk penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), dengan pelbagai pihak mengulangi kritikan terhadap Suruhanjaya Tatakelakuan Polis Bebas (IPCC) yang "tidak bertaring" semasa.
Usaha menubuhkan IPCMC mendapat sambutan susulan beberapa insiden, termasuk kejadian tembakan maut tiga suspek oleh polis di Durian Tunggal, Melaka, dengan keluarga lelaki tersebut menuduh polis melakukan pembunuhan.
Dalam kes berasingan, pemberi maklumat Albert Tei juga telah menegur SPRM, menuduh pegawai-pegawai pencegah rasuah itu mengacukan senjata ke arahnya dan ahli keluarganya semasa serbuan pada 28 November di rumahnya, ketika dia ditangkap dan kemudian didakwa dengan tuduhan rasuah.

Bulan lalu, Anwar mempertahankan agensi penguatkuasaan, dengan alasan bahawa walaupun terdapat beberapa "kekurangan yang tidak dapat dinafikan" dari segi tindakan yang diambil, adalah "tidak adil" untuk memberikan gambaran negatif tentang pihak berkuasa sedemikian.
Anwar hari ini menyatakan kepercayaannya bahawa masa terbaik untuk bertindak tegas terhadap dakwaan salah laku adalah ketika seseorang berkuasa.
“Dulu kita pikir orang politik, sekarang penjawat awam, pegawai tentera, polis tanpa kecuali,” katanya.
Tanpa menamakan individu tertentu, perdana menteri juga mengecam tokoh-tokoh "bersara" yang katanya meratapi dan mengkritik keadaan negara hanya selepas melepaskan jawatan yang sepatutnya digunakan untuk melaksanakan perubahan positif.
“Bila sudah bersara, tidak ada kerja, maka berleter la kita setiap hari, bila ditanya apa yang kamu buat untuk martabatkan kedudukan orang Melayu, bumiputera atau bersihkan jentera.
“Sebab itu saya sering mengingatkan lakukan sedaya upaya pembaharuan semasa berkuasa, buakn berleter merengekt setelah hilang kuasa,” katanya.
