Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lebih masa untuk e-invois, pengurangan SST antara pengumuman PM

Syarikat diberi tempoh tambahan selama setahun untuk beralih kepada pelaksanaan e-invois dan tidak akan dikenakan sebarang penalti dalam tempoh tersebut, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Menurut Anwar, yang juga menteri kewangan, tempoh peralihan lanjutan itu akan diguna pakai tahun ini kepada syarikat yang mencatatkan hasil tahunan antara RM1 juta hingga RM5 juta.

Pelanjutan pelaksanaan e-invois itu merupakan antara rangkaian langkah ekonomi yang diumumkan Anwar dalam ucapan khas Tahun Baru di Jabatan Perdana Menteri hari ini.

Pengumuman lain termasuk pengurangan kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi sektor dan industri tertentu, peningkatan pinjaman kecil untuk usahawan serta pengecualian cukai pendapatan.

“Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan tempoh peralihan (pelaksanaan e-invois) tanpa penalti untuk satu tahun lagi kerana banyak mengatakan dia melibatkan kos yang terlalu tinggi,” kata Anwar mengenai keputusan melanjutkan tempoh peralihan e-invois.

Dia turut memaklumkan ambang hasil syarikat yang diwajibkan melaksanakan e-invois dinaikkan daripada RM500,000 kepada RM1 juta.

Syarikat yang menjual bahan binaan juga akan diwajibkan mengguna pakai e-invois, katanya.

Antara perubahan dalam rejim SST, perdana menteri berkata kadar SST bagi perjanjian sewaan telah dikurangkan daripada 8 peratus kepada 6 peratus.

Ini kata Anwar bertujuan mengurangkan kos operasi perniagaan.

Lebih pengecualian, kelulusan dipercepat

Langkah-langkah ini dibuat susulan pengumuman mengenai reformasi institusi utama yang dijadual dibentangkan di Parlimen tahun ini, termasuk had tempoh jawatan perdana menteri dan penubuhan pejabat pendakwa raya awam yang berasingan.

Anwar turut mengumumkan beberapa pakej bantuan untuk sekolah dan bank makanan bagi pelajar.

Langkah lain yang diumumkan Anwar termasuk:

  • SST tidak akan dikenakan ke atas pengilang makanan ternakan, baja dan racun serangga bagi mengurangkan kos produk pertanian.

  • SST bagi pembinaan rumah ibadat turut dikecualikan.

  • Pinjaman Bank Negara ditingkatkan kepada RM2.5 bilion manakala skim jaminan dinaikkan kepada RM10 bilion.

  • Dana dan jaminan untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dinaikkan kepada RM50 bilion pada 2026 berbanding RM40 bilion tahun lalu, manakala dana khusus untuk program Tekun Nasional ditingkatkan kepada RM500 juta tahun ini.

  • Pengecualian cukai pendapatan bagi organisasi kebajikan dan amal akan dilanjutkan secara automatik selama 10 tahun lagi.

  • Kelulusan bagi projek infrastruktur berskala kecil bernilai RM2.4 bilion seperti pembaikan klinik usang, sekolah, jalan raya dan pemasangan lampu jalan akan dipercepatkan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS