Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Tiada jentikan ghaib, Muhyiddin sudah di penghujung dalam PN'
Diterbitkan:  Jan 6, 2026 11:00 AM
Dikemaskini: 3:00 AM

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Puad Zarkashi menolak gambaran Muhyiddin Yassin sebagai “perwira politik” yang memiliki pengaruh luar biasa dalam Perikatan Nasional (PN).

Sebaliknya, dia menegaskan bekas perdana menteri yang juga presiden Bersatu itu sudah kehilangan sokongan dan berada di penghujung pengaruhnya dalam gabungan tersebut.

“Hanya Muhyiddin yang tahu tiga ahli Parlimen sahaja yang sokong dia. MP Bersatu yang lain semuanya ikut (Timbalan Presiden Bersatu) Hamzah Zainudin.

“Justeru Muhyiddin tahu dia sudah di penghujung. Dia tidak boleh tahan.,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.

Puad merujuk kepada analisis profesor seni bina Islam, Tajuddin Rasdi yang menyifatkan Muhyiddin sebagai tokoh berpengaruh dengan kuasa “jentikan ghaib” sehingga mampu menguasai pemimpin lain dalam PN.

Katanya, analisis itu sebagai tidak berpijak di bumi nyata dan gagal memahami apa yang sebenarnya berlaku dalam PN serta parti Bersatu.

Malah, menurut Puad, Muhyiddin sedar sokongan terhadapnya dalam kalangan ahli parlimen Bersatu amat terhad.

Tajuddin Rasdi

Puad turut menolak dakwaan bahawa peletakan jawatan beberapa pengerusi negeri Bersatu mencerminkan kekuatan Muhyiddin, memandangkan mereka bukan Ahli Parlimen dan tidak menentukan sokongan sebenar di peringkat pusat.

Justeru, kata pemimpin Umno itu, Muhyiddin sedar kedudukannya tidak lagi mampu dipertahankan, menyebabkan dia memilih untuk berundur daripada jawatan pengerusi PN.

“Dia pernah cuba bertahan ketika 15 ahli parlimen Umno tarik sokongan, tetapi akhirnya tetap terpaksa meletakkan jawatan sebagai perdana menteri kelapan. Di mana ‘perwira politiknya’?” soal Puad.

Puad turut mengkritik kepimpinan Muhyiddin yang disifatkannya keras kepala, termasuk keputusan mengisytiharkan darurat semasa pandemik Covid-19 serta keengganannya mengikut nasihat Yang di-Pertuan Agong untuk menyertai Kerajaan Perpaduan.

Katanya, Muhyiddin mungkin cekap memanfaatkan keadaan, tetapi lemah dari segi sokongan akar umbi, satu faktor yang akhirnya melemahkan kedudukannya dalam Bersatu.

“Hamzah menguasai akar umbi parti. Akhirnya Muhyiddin menggelupur dan meninggalkan PN,” katanya.

Mengulas krisis di Perlis, Puad mendakwa perkembangan itu membuktikan Muhyiddin menjadi punca keretakan PN, malah menyifatkannya sebagai “perosak” kepada gabungan tersebut.

“Dia yang bunuh PN. Umno tidak terkesan langsung. Malah, ia bagus untuk Umno,” katanya.

Puad juga menyatakan keyakinan Umno bahawa PAS tidak berminat untuk mengambil alih kepimpinan PN, terutama selepas prestasi buruk gabungan itu di Sabah yang disifatkannya sebagai “total loss”.

Menurutnya, PAS sedar Bersatu berada di ambang kejatuhan, manakala Hamzah pula sedang merancang jajaran politik baharu.

“Ini menunjukkan PN juga sedang menuju ke arah ‘tutup kedai’,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS