Penduduk tempatan dan kumpulan alam sekitar telah menggesa kerajaan Negeri Perak untuk membatalkan cadangan perubahan pada Draf Rancangan Tempatan Bandaraya Ipoh 2035 yang disifatkan menimbulkan kebimbangan mengenai risiko alam sekitar yang ketara.
Perubahan yang dicadangkan termasuk melukis semula sempadan dan menukar kira-kira 18.62 hektar hutan simpan berhampiran Kelab Golf Lembah Meru untuk pembangunan kediaman dan kegunaan pertanian.
Semalam, kumpulan alam sekitar Sahabat Alam Malaysia, Sahabat Ekologi Perak, dan penduduk Lembah Meru telah bertemu dengan pihak berkuasa dalam Mesyuarat Jawatankuasa Siasatan dan Pendengaran Tempatan untuk menjelaskan bantahan yang mereka kemukakan pada mulanya terhadap rancangan tersebut pada Oktober 2025.
“Sebelum Lot 559526 menjadi tanah milik, ia adalah berstatus Hutan Simpanan Kekal (HSK) iaitu merupakan sebahagian daripada Hutan Simpan Kledang Saiong yang telah dimansuh warta pada 24 Oktober 2019,” kata mereka.
Imej yang diekstrak daripada draf rancangan itu menunjukkan bahawa lokasi tersebut terletak berhampiran Kelab Golf Lembah Meru dan Lebuhraya Ipoh-Lumut, yang telah digunakan sebagai justifikasi pihak berkuasa dan pemaju.
Selain kemusnahan alam sekitar, kumpulan-kumpulan tersebut juga memberi amaran terhadap pembangunan kediaman di kawasan tersebut, dengan menyatakan risiko hakisan tanah dan banjir lumpur semasa hujan lebat, terutamanya memandangkan kawasan berbukit di kawasan tersebut.
“Walaupun kini status tanah kawasan cadangan telah menjadi tanah milik, kami masih membantah kerana tanah di sini masih berhutan, ciri-ciri geofizikal keseluruhan kawasan yang dicadangkan adalah berbukit, struktur tanah mudah terhakis dan ia merupakan kawasan yang sensitif kepada sebarang aktiviti yang melibatkan pemusnahan guna tanah sedia ada,” tambah mereka.
Selain itu, mereka mengingatkan bahawa aktiviti pembangunan dan pertanian di kawasan tersebut juga boleh menyebabkan konflik manusia-hidupan liar, dengan menekankan bagaimana hutan simpan itu juga merupakan habitat penting kepada Siamang yang terancam, dan spesies hidupan liar lain yang dilindungi sepenuhnya.
Mereka menekankan bagaimana walaupun kawasan tersebut bukan dalam Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) Geopark Lembah Kinta, pihak berkuasa harus terus mengutamakan pemeliharaan dan penyelenggaraan ekosistem tempatan.
Tegas mereka, ini selaras dengan matlamat jangka panjang kerajaan Perak untuk akhirnya mengisytiharkan seluruh Daerah Kinta sebagai sebahagian daripada Geopark Lembah Kinta.
Berikutan itu, mereka menuntut pihak berkuasa untuk segera mewartakan semula kawasan tersebut sebagai kawasan perlindungan atau Hutan Simpanan Kekal, dan untuk ia juga diwartakan di bawah Akta Pemuliharaan Tanah 1960.
“Malaysia adalah salah satu negara yang mnandatangani Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD) dan Perjanjian Paris. Oleh yang demikian semua negeri perlu mengambil tindakan untuk melindungi dan memulihara hutan dan tidak menjejaskan kewajipan di bawah perjanjian antarabangsa ini,” kata mereka.
Sebelum ini, kumpulan itu telah menyatakan bantahan yang sama apabila pihak berkuasa negeri mengadakan Publisiti Draf Rancangan Tempatan Bandaraya Ipoh 2035 (Pindaan) pada Oktober tahun lepas, menggalakkan maklum balas awam mengenai projek tersebut.
Pada bulan November, Sahabat Alam Malaysia, Sahabat Ekologi Perak dan beberapa NGO lain turut mengemukakan memorandum kepada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, yang turut membantah projek ladang seluas 2,020 hektar yang dirancang, juga dalam Hutan Simpan Kledang Saiong.
