Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, menghantar sepucuk lagi surat kepada Menteri Besar Selangor, Amiruddin Shari, bagi meminta kronologi serta butiran berkaitan pemindahan pemilikan tanah seluas 68.4 hektar berhampiran Hutan Simpan Ayer Hitam di Kinrara, Puchong, yang dikatakan dirancang untuk pembangunan.
Susulan surat pertamanya pada 15 Dis, Wong menggesa Amirudin agar memberi maklum balas terhadap permohonan terbarunya dalam tempoh 14 hari dari tarikh surat tersebut dihantar.
“Setakat jam lima petang pada 5 Januari, iaitu penghujung hari bekerja pertama bagi tahun baru ini, kami masih belum menerima sebarang maklum balas daripada kerajaan Selangor.
“Sehubungan itu, hari ini kami mengeluarkan surat peringatan, dengan memberikan kerajaan Selangor tempoh tambahan selama 14 hari untuk mengemukakan maklum balas rasmi secara bertulis,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
“Tujuan utama permohonan kami untuk mendapatkan butiran tersebut adalah untuk membolehkan kami mempertimbangkan kemungkinan pembelian semula tanah yang kontroversi ini dan seterusnya mewartakannya semula sebagai rizab hutan,” katanya lagi.

Dia juga mengingatkan yang Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam perutusan tahun baru telah menasihatkan agar semua kementerian memberi respons terhadap surat rasmi, khususnya dalam tempoh masa yang ditetapkan.
“Sehubungan itu, kami berharap agar kerajaan Selangor dapat mengemukakan butiran yang dimohon dengan segera,” kata anggota Parlimen PKR itu lagi.
Dinyah warta pada 1926
Pada 17 Dis lalu, Exco Kesihatan Awam, Alam Sekitar, Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Selangor, Jamaliah Jamaluddin, menjawab permohonan Wong dengan menjelaskan semakan dengan Jabatan Perhutanan Negeri mendapati kawasan tersebut tidak lagi berstatus hutan simpan kekal sejak 99 tahun lalu.
Menurut Jamaliah, kawasan berkenaan pada asalnya merupakan sebahagian daripada Hutan Simpan Ayer Itam yang diwartakan pada 1906, sebelum dinyahwartakan kepada kerajaan negeri pada 1926.
Sebahagian besar kawasan tanah itu terletak dalam kawasan Parlimen Subang, justeru Wong menuntut agar harga urus niaga tanah tersebut didedahkan, khususnya berikutan kebimbangan terhadap “kemungkinan kos pengambilan balik yang akhirnya akan ditanggung oleh pembayar cukai”.
Wong juga mengingatkan kerajaan negeri mempunyai Enakmen Kebebasan Maklumat Selangor 2011, yang membenarkan pendedahan sedemikian dilakukan.
Dia berkata demikian selepas menerima petisyen yang ditandatangani 3,752 penduduk yang membantah pembangunan dibuat di kawasan itu.
Menurut Wong, wakil persatuan penduduk memintanya menulis kepada kerajaan negeri bagi mendapatkan kronologi berkaitan tanah tersebut, termasuk butiran pemindahan pemilikan daripada Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) kepada pemilik semasa.
Walaupun penjelasan Jamaliah tidak merangkumi pendedahan terperinci mengenai peralihan seperti yang diminta oleh Wong, masih tiada sebarang maklum balas daripada Pejabat Menteri Besar Selangor.
