Bekas menteri perumahan dan kerajaan tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin menegaskan dia telah mengadakan dua pertemuan berasingan dengan bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng, masing-masing pada tahun 2018 dan 2019, dengan dia mendakwa Lim telah menolak permintaannya berkaitan projek perumahan untuk bekas pekerja ladang di Bestari Jaya.
Dalam keterangan pembelaan saman fitnah yang difailkan Lim terhadapnya, Zuraida memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam bahawa dia tidak berbohong mengenai pertemuan tersebut.
“Memang ada pertemuan. Saya tidak berbohong. Bismillahirrahmanirrahim, ini bukan satu pembohongan,” katanya ketika disoal balas oleh peguam Lim, Sankara Nair.
Bekas ahli parlimen Ampang itu menambah walaupun tiada bukti dokumentari (documentary evidence) mengenai pertemuan tersebut dikemukakan di mahkamah, terdapat perbualan WhatsApp antara mereka, serta Ketua Pengarah KPKT ketika itu, Jayaselan Navaratnam, yang turut hadir dalam kedua-dua pertemuan tersebut.
Dia menyatakan bahawa Lim tidak bersetuju dengan permintaannya semasa pertemuan pertama pada Oktober 2018.
Pada waktu itu, katanya, tiada permohonan baru untuk projek perumahan tersebut kerana ia telah pun diluluskan oleh kerajaan terdahulu di bawah bekas perdana menteri, Najib Razak, dan peruntukan projek tersebut telah dimasukkan dalam Belanjawan 2018.
Selepas itu pertemuannya dengan Lim adalah bagi tujuan susulan terhadap projek berkenaan.
Bagaimanapun, Zuraida berkata, sebelum pertemuannya dengan bekas menteri kewangan itu, dia telah terserempak dengan setiausaha politik Lim ketika itu, Tony Pua, yang memberitahunya bahawa projek tersebut tidak akan diluluskan.
“(Semasa pertemuan dengan Lim), dia memberitahu saya bahawa jika kami mahu meneruskan permohonan itu, mekanisme perlu ditukar daripada pemberian terus kepada tender terbuka, selaras dengan manifesto kerajaan ketika itu.
“Oleh kerana tanah tersebut milik Kumpulan Berjaya, saya telah bertemu dengan pemilik tanah dan memaklumkan kepada mereka mengenai mekanisme baharu ini. Mereka telah menulis surat bersetuju, yang membawa kepada pertemuan kedua.
“Sebab itulah saya ada dua pertemuan (dengan Lim) dan susulan melalui WhatsApp, di mana saya menyatakan bahawa saya perlu menunaikan manifesto dan jika tidak berbuat demikian, kerajaan jenis apalah kita ini,” katanya sambil menambah bahawa Lim tetap dengan pendirian menolak projek tersebut semasa pertemuan kedua.
Lim, 65, memfailkan saman fitnah terhadap Zuraida, editor portal berita dalam talian MalaysiaNow serta pemiliknya, Mnow Media Sdn Bhd, pada Jun 2024, dengan mendakwa Zuraida telah mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadapnya berhubung projek perumahan tersebut.
Dakwaan Zuraida tertumpu kepada apa yang didakwa berlaku semasa tempoh Lim menerajui Kementerian Kewangan dari 2018 hingga 2020.
Ahli Parlimen Bagan itu mendakwa kenyataan tersebut disiarkan oleh MalaysiaNow melalui artikel bertajuk “Zuraida dakwa Guan Eng tolak dua kali permohonan KPKT bina rumah pekerja ladang Bestari Jaya” yang diterbitkan pada tarikh sama.
Semalam, Lim memberitahu mahkamah bahawa dia tidak mengingati sebarang pertemuan seperti yang didakwa Zuraida, dan tidak dapat mengesahkan kewujudan perbualan WhatsApp dengan Zuraida, walaupun mengesahkan nombor penerima itu adalah miliknya.
Lim memberitahu Hakim Shoba Rajah bahawa tiada sebarang dokumen yang menyokong dakwaan Zuraida mengenai projek berkenaan.
Keterangannya selari dengan keterangan Pua, yang tampil sebagai saksi.
“Sebaliknya, saya dengan jelas mengingati cadangan-cadangan lain daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam tempoh yang sama.
“Ini termasuk skim sewaan perumahan kos rendah yang memerlukan jaminan daripada Kementerian Kewangan, yang telah melalui perbincangan peringkat menteri dan pembentangan peringkat pegawai sebelum dihentikan di peringkat pegawai kerana didapati memberi jaminan keuntungan yang tidak wajar kepada sebuah bank swasta, selain mendedahkan kerajaan kepada risiko kerugian.
“Dalam keadaan ini, saya yakin bahawa sekiranya wujud permohonan rasmi dan sah seperti yang didakwa, dan ia telah berkembang melepasi perbincangan awal, perkara tersebut pasti akan sampai ke pengetahuan plaintif atau pejabatnya, dan saya tentu mengetahuinya,” kata Pua semalam.
Pua tidak dipanggil sebagai saksi Zuraida
Prosiding menjadi tegang seketika semasa soal balas apabila Sankara mempersoalkan mengapa Zuraida tidak memanggil Pua sebagai saksinya, sedangkan dia menyatakan dalam penyataan pembelaannya bahawa dia telah bertemu Pua sebelum bertemu Lim pada 2018.
Peguamnya, Nizamuddin Hamid, membantah soalan tersebut, dan hakim memberitahu Zuraida bahawa dia tidak perlu menjawab kerana mahkamah tidak melihat sebarang kepentingan terhadap soalan itu.
“Pua menyokong kenyataan pihak sana, jadi bagaimana saya boleh memanggilnya sebagai saksi?” katanya sebagai jawapan kepada Sankara selepas pertikaman hujah ringkas antara kedua-dua pihak.
Zuraida juga memberitahu mahkamah bahawa dia tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang susulan terhadap respons Pua terhadap kenyataannya yang disiarkan oleh MalaysiaNow pada 2024.
“Saya tidak membuat sebarang kenyataan balas (kepada Pua) dan itu tidak bermaksud saya menerima kenyataan tersebut.
“Saya mengabaikannya. Saya tahu ramai pelaku yang bersifat politik kerana mereka mengambil tindakan terhadap saya.
“Mungkin bagi anda (secara logik wajar mengambil tindakan), tetapi sebagai seorang ahli politik dan sebagai seorang Muslim yang baik, saya tidak berbuat demikian. Saya tidak peduli. Saya hanya peduli apa yang Allah fikirkan,” katanya menjawab soalan Sankara.
Zuraida turut memberitahu mahkamah dia tidak membuat sebarang kenyataan mengenai projek perumahan itu sehingga hampir dengan tarikh pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu, kerana dia berasa terdorong untuk menjawab kenyataan Menteri KPKT ketika ini, Nga Kor Ming, yang dibuat pada April 2024.
Ketika itu, Nga dilaporkan berkata bahawa RM5.21 juta akan diperuntukkan bagi menaik taraf kemudahan infrastruktur awam di bawah seliaan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) serta Projek Kampung Baru Cina.
“Saya tersinggung dengan tuduhan peguam yang mengatakan saya seorang pembohong. Sebagai seorang Muslim yang baik, saya tidak berbohong. Saya minta maaf, anda (Sankara) perlu meminta maaf kepada saya di luar mahkamah. Sebagai seorang Muslim yang baik, kami tidak berbohong, sebab itu saya tidak membuat kenyataan lebih awal.
“Saya tidak berada dalam politik (ketika saya membuat kenyataan tersebut). Saya rasa perlu memastikan fakta tepat. Saya juga merasakan plaintif mengaitkan kenyataan saya dengan isu perkauman.
“Sebagai seorang menteri, anda tidak boleh bersikap perkauman kecuali jika anda memang seorang yang rasis. Saya tidak bermaksud demikian dan ia berkaitan dengan integriti. Saya menerima secara zahir bahawa dia (Lim) bersih, walaupun kini mempunyai kes di mahkamah, tetapi saya tidak menyentuh soal integriti beliau atau menuduhnya rasis atau apa-apa.
“Saya hanya bercakap tentang fakta bahawa saya bertemu dia dua kali. Dan dia menolak permintaan saya. Itu sahaja,” katanya sebelum meninggalkan kandang saksi.
Mahkamah kemudian menangguhkan prosiding dan akan bersambung esok dengan Jayaselan dipanggil memberi keterangan.
[Baca laporan asal]
