Keputusan Umno untuk kekal dalam kerajaan Madani dipuji Pakatan Harapan (PH), dengan setiausaha agungnya Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan parti itu menunjukkan “tahap kematangan politik yang tinggi”.
Bercakap kepada media petang tadi, menteri dalam negeri itu berkata pengumuman Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi malam tadi membantu mengekalkan kestabilan politik dan perpaduan negara.
“Dalam konteks kerajaan berpaduan dan sebagai Ketua Usaha Pakatan Harapan tentunya saya meletakkan kepercayaan yang penuh tentang kebijaksanaan kepimpinan Umno. Saya mempunyai percaya pada kebijaksanaan kepimpinan Umno tentang bagaimana memposisikan kedudukan mereka.

“Saya percaya tempoh tiga tahun ini sebagai kerajaan Umno kekal sebagai sebuah parti politik Melayu yang terbesar dalam kerajaan. Mereka adalah parti terbesar Melayu dalam kerajaan. Hari ini, sekarang ini dan sudah tentulah dalam bilangan mereka Barisan Nasional 30 (ahli Parlimen) mereka sekarang menduduki lapan menteri penuh.
“Jadi, sebenarnya kalau kita tengok dari sudut itu, Umno mempunyai peranan yang sangat penting dalam kerajaan perpaduan sekarang.
“Dan saya percaya kematangan politik yang tinggi telah ditunjukkan oleh Umno dan dalam konteks kerajaan berpaduan ia membantu mengekalkan lagi orang kata perpaduan dan kestabilan politik. Maka kerajaan ini padu, utuh, bersatu dan berfungsi,” katanya selepas menghadiri program Jabatan Pendaftaran Negara di Sungai Buaya, Selangor.
Malam semalam, Zahid selepas mempengerusikan mesyuarat biro politik Umno menegaskan parti itu berpendirian untuk kekal dalam kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang juga pengerusi PH.

Keputusan itu dibuat walaupun terdapat tekanan kuat daripada beberapa tokoh dalam Umno agar parti tersebut menarik balik sokongan terhadap pentadbiran semasa dan bekerjasama dengan PAS.
Ditanya mengenai usaha PAS untuk memikat Umno, Saifuddin memberi jawapan sinis.
“PAS, saya tak mahu bersilat dan gelanggang politik dia saya percaya PAS boleh menilai mungkin dia boleh selesai dulu masalah dia di Perlis dengan baik,” katanya, merujuk kepada kemelut politik terkini antara parti Islam itu dan sekutunya Bersatu di Perlis.
Sementara itu, mengulas pengumuman Anwar mengenai had tempoh jawatan perdana menteri, Saifuddin berkata keputusan tersebut menghantar isyarat jelas bahawa kuasa bukan sesuatu yang boleh dipegang oleh seorang pemimpin tanpa had masa.
“Dia (Anwar) menghantar satu isyarat yang kuat bahawa tempoh pegang jawatan ini bukanlah satu tempoh untuk kita berlama-lama. Dan kita ada prinsip tanggungjawab dan pertanggungjawaban. Dan rakyat ada kejelasan bahawa di bawah kepimpinan ini tempohnya 10 tahun,” katanya.
