Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu pemain warisan: Kita jawab lepas laporan selesai - pengarah JPN

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hari ini enggan memberi komen lanjut mengenai isu pemain warisan pasukan bola sepak kebangsaan sementara menunggu laporan muktamad mengenai skandal itu.

Ketua pengarahnya Badrul Hisham Alias ​​berkata pihaknya akan menangani semua kebimbangan dan dakwaan selepas laporan itu dikeluarkan.

"Kita akan keluarkan (kenyataan) kemudian. Apabila laporan semua sudah selesai, kita akan jawab.

"Sebab nanti cerita tak selari susah," katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui semasa satu acara di Sungai Buaya, Rawang awal hari ini.

Badrul diminta menjelaskan kebimbangan yang dibangkitkan berkaitan isu pemain warisan yang telah menyebabkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dihukum Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) yang menuduh FAM mengemukakan dokumen palsu mengenai keturunan nenek moyang pemain berkenaan.

Ini termasuk soalan mendesak tentang prosedur JPN semasa mengeluarkan sijil kelahiran kepada pemain bola sepak, yang merupakan salah satu dokumen yang diperlukan oleh Fifa untuk membuktikan kelayakan mereka bertanding sebagai pemain warisan Malaysia.

Fifa sebelum ini telah memulakan siasatan terhadap FAM dan tujuh pemain Harimau Malaya - Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Manchuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal, dan Hector Hevel.

Para pemain berkenaan didapati bersalah melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib Fifa (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

FAM kemudian membentuk jawatankuasa siasatan bebas (IIC) untuk menyiasat pihak yang didakwa memalsukan dokumen tersebut.

Walau bagaimanapun, siasatan IIC menemui jalan buntu, dengan dokumen penting masih tidak didedahkan dan pihak yang terlibat enggan bekerjasama, dan ia menggesa FAM untuk membuat laporan polis.

Polis telah melancarkan siasatan selepas menerima laporan daripada FAM.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail semasa sidang media di majlis yang sama juga enggan mengulas apabila diminta untuk mengesahkan sama ada dokumen palsu yang didakwa itu datang daripada JPN atau sebaliknya.

Menurut Saifuddin, dia telah memberikan penjelasan mengenai isu tersebut semasa kenyataan menterinya baru-baru ini di Parlimen.

Walau bagaimanapun, menteri itu berkata dia dan pengarah JPN bersedia untuk memberikan kerjasama penuh terhadap sebarang siasatan mengenai perkara itu.

Saifuddin sebelum ini mempertahankan pemberian kewarganegaraan kepada pemain berkenaan, dengan mengatakan bahawa semuanya dilakukan mengikut prosedur dan perlembagaan Malaysia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS