Bersatu memecat ahli Majlis Pimpinan Tertingginya, Saifuddin Abdullah, berkuat kuasa hari ini.
Menurut sepucuk surat Lembaga Tatatertib Bersatu bertarikh hari ini dan dialamatkan kepada Saifuddin, keputusan tersebut ditentukan dalam satu mesyuarat yang diadakan semalam.
Surat berkenaan menyatakan Saifuddin telah melanggar Klausa 9.1.4 Perlembagaan parti namun tidak memperincikan kesalahan khusus yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Indera Mahkota itu.
Ketika dihubungi Malaysiakini, Saifuddin mengesahkan penamatan keahliannya dalam Bersatu dan memaklumkan dia akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan tersebut.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda Bersatu (Armada) Harris Idaham Rashid dipetik Bernama mengesahkan pemecatan itu berkait kritikan Saifuddin terhadap Muhyiddin.
“Ya betul (pemecatan itu). (Ini kerana) Beliau sebelum ini pernah dalam platform terbuka mengkritik Presiden Bersatu (Tan Sri Muhyiddin Yassin).
“Beliau telah diberi peluang bagi membela diri dan mesyuarat Lembaga Disiplin yang bermesyuarat semalam telah memutuskan pemecatan beliau,” katanya.
Pada Oktober tahun lalu, Saifuddin disingkirkan daripada jawatan pengerusi PN Pahang dikatakan susulan desakannya agar Muhyiddin berundur sebagai presiden Bersatu dan Azmin digugurkan daripada jawatan setiausaha agung parti.

Saifuddin antara ahli parlimen Bersatu secara terbuka menentang Muhyiddin.
Dua yang lain ialah Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan dan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Wan Saiful dipecat daripada Bersatu manakala keahlian Wan Ahmad Fayhsal digantung selama sepenggal.
Selain menggesa perubahan kepimpinan, Saifuddin bersama 15 lagi Ahli Parlimen Bersatu turut menandatangani sepucuk surat yang dialamatkan kepada Muhyiddin bagi menyuarakan bantahan terhadap pemecatan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, serta penggantungan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Mereka juga membantah tindakan Lembaga Tatatertib parti yang memanggil Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin.
Saifuddin mempertahankan kritikannya terhadap presiden parti dengan menyatakan bahawa Muhyiddin pernah melakukan perkara yang sama ketika Abdullah Ahmad Badawi memegang jawatan presiden Umno.
Pada 31 Okt, Hamzah berkata Muhyiddin akan menyerahkan jawatan presiden apabila beliau bersedia.
Di tengah-tengah laporan mengenai ketegangan yang semakin memuncak dalam parti, Hamzah mengumpamakan penyerahan jawatan presiden seperti acara larian berganti-ganti 4x100 meter.

“Mungkin saya pelari kedua dan dia pelari pertama. Saya hanya menunggu.
“Apabila dia hampir dengan saya, dia (akan) menyerahkan baton, saya akan menerimanya.
“Selagi belum melepasi garisan penamat,” katanya dalam program Breakfast Grille di BFM.
Dalam wawancara itu, Hamzah mendakwa dia telah memaklumkan Muhyiddin mengenai kemunculan perpecahan dalaman parti malah sebelum Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Bersatu lagi.

Semasa AGM tersebut, beberapa perwakilan secara terbuka menggesa Muhyiddin meletakkan jawatan, sekali gus mencetuskan kekecohan.
Hamzah turut mendakwa dia tidak menyokong atau menggalakkan sebarang usaha untuk mengangkatnya sebagai presiden kerana hanya baru-baru ini mengetahui kewujudan percubaan sedemikian.
Tambahnya, kesetiaannya terhadap Muhyiddin tidak seharusnya dipersoalkan.
