Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nama dikaitkan lejar Jana Wibawa, ketua bahagian Bersatu serah pada polis
Diterbitkan:  Jan 7, 2026 11:28 AM
Dikemaskini: 3:28 AM

Seorang ketua bahagian Bersatu yang dikaitkan dengan dakwaan rasuah berjumlah RM1.1 juta, yang didakwa berkait dengan program Jana Wibawa, berikrar untuk bekerjasama dengan sebarang siasatan polis susulan laporan yang dibuat oleh seorang lagi pemimpin bahagian parti itu.

Ketua Bahagian Bersatu Kota Melaka, Hishamuddin Abdul Karim, berkata dia maklum mengenai laporan polis yang dibuat oleh Ketua Penerangan Bersatu Hulu Langat, Shafiq Abdul Halim, yang mendakwa dirinya menerima kira-kira RM1.1 juta dalam bentuk wang tunai dan pelbagai aset daripada sebuah syarikat yang dikaitkan dengan program Jana Wibawa.

“Saya dimaklumkan mengenai perkara ini (dakwaan tersebut). Buat masa ini, saya tiada sebarang ulasan untuk dikongsi,” kata Hishamuddin kepada Malaysiakini.

“Saya percaya pihak polis akan bertindak dengan adil, dan insya-Allah saya akan memberi kerjasama,” katanya apabila ditanya lanjut.

Dikaitkan dengan kes sedang dibicarakan

Shafiq, pada sidang media semalam, mendakwa maklumat itu terkandung dalam satu dokumen lejar yang didakwa merekodkan transaksi kewangan oleh sebuah syarikat yang terlibat dalam program Jana Wibawa.

“Daripada lejar ini, jika kita lihat, terdapat beberapa nama yang sememangnya dikaitkan dengan kes yang sedang dibicarakan,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.

"Dokumen itu dipercayai daripada sebuah syarikat yang terlibat dengan Program Jana Wibawa yang ketika ini sedang dibicarakan di mahkamah berhubung kes satu projek bernilai RM232 juta," katanya.

Dokumen berkenaan turut dikongsi dengan media bersama laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Dokumen yang didakwa itu, antara lain, merekodkan pembayaran tunai berjumlah RM774,500, dua telefon bimbit bernilai RM15,000, dua komputer riba bernilai RM10,000, sebuah kenderaan jenama tempatan serta sebuah kereta mewah, termasuk insurans dan cukai jalan.

“Saya juga ingin memaklumkan bahawa salinan dokumen lejar dan bahan sokongan lain telah diserahkan kepada pihak berkuasa sebagai bukti awal.

"Saksi yang menyerahkan dokumen ini juga turut menawarkan diri bagi membantu siasatan pihak PDRM dan SPRM,” kata Shafiq lagi.

Program Jana Wibawa diperkenalkan semasa pentadbiran bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin bagi mempercepatkan pelaksanaan projek dan merancakkan ekonomi ketika pandemik Covid-19.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS