Selepas kejatuhan Presiden Nicolás Maduro hujung minggu lalu, perhatian dunia kini bukan sahaja tertumpu kepada rizab minyak Venezuela, malah kepada kemungkinan pegangan bitcoin bernilai berbilion dolar AS oleh rejim tersebut.
Pakar memberitahu CNBC bahawa sekatan antarabangsa telah memaksa Venezuela menggunakan kaedah alternatif, termasuk mata wang kripto, untuk menyimpan dan memindahkan kekayaan.
“Adalah sangat munasabah untuk mengandaikan Venezuela mempunyai pendedahan yang signifikan kepada bitcoin,” kata Gui Gomes, pengasas dan CEO firma bitcoin berasaskan Amerika Latin, OranjeBTC.
“Memandangkan mereka disingkirkan daripada sistem kewangan global, besar kemungkinan mereka menyimpan emas, bitcoin dan sedikit dolar ‘di bawah tilam’," katanya.
Bitcoin dipercayai menjadi pilihan kerana sifatnya yang terdesentralisasi dan bebas daripada kawalan sistem kewangan global.
Anggaran pegangan Venezuela pula berbeza-beza. Laporan Project Brazen mendakwa negara itu mungkin memiliki sehingga AS$60 bilion dalam bitcoin, manakala Bitcointreasuries.net menganggarkan hanya 240 bitcoin bernilai sekitar AS$22 juta.
Jumlah sebenar sukar dipastikan kerana pegangan kripto berkemungkinan diagihkan merentasi ribuan dompet sulit.
Penganalisis berkata, sekiranya bitcoin tersebut dijual atau dirampas susulan perubahan rejim atau tindakan penguatkuasaan Amerika Syarikat, ia berpotensi menjejaskan harga bitcoin di pasaran global.
Terdapat juga spekulasi bahawa AS boleh merampas aset tersebut untuk dijadikan sebahagian rizab bitcoin strategik negara itu.
