Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang baru dipecat, Saifuddin Abdullah, mendakwa lembaga disiplin parti itu tidak mengendahkan permohonannya untuk mendapatkan perbicaraan yang adil, termasuk tuntutan supaya presiden parti, Muhyiddin Yassin, dipanggil memberi keterangan pada prosiding lembaga disiplin 6 November lalu.
Saifuddin (gambar atas) menjelaskan dalam satu kenyataan hari ini bahawa dia sebelum ini telah mengemukakan tiga tuntutan khusus kepada lembaga disiplin parti selepas prosiding berkenaan, bagi memastikan diberikan perbicaraan yang adil.
Bagaimanapun, katanya, sehingga 6 Januari, dia masih belum menerima sebarang maklum balas berhubung permintaan yang dikemukakan sejak November tahun lalu.
"Oleh kerana pendakwaan terhadap saya melibatkan pertuduhan bahawa saya, antara lain, “mencadangkan Tan Sri Presiden meletakkan jawatan”, maka, terdapat beberapa persoalan yang akan saya bangkitkan di hadapan Lembaga Disiplin.
"Persoalan-persoalan ini hanya boleh dijawab oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden Bersatu Malaysia, dan bukannya oleh pengadu, penyiasat, pendakwa saya ataupun lembaga disiplin," katanya.
Pada November lalu, Lembaga Disiplin Bersatu memanggil Saifuddin berhubung beberapa dakwaan, termasuk menyerang presiden parti, berkempen supaya presiden meletakkan jawatan, serta mengeluarkan kenyataan yang mencemarkan nama baik parti.
Ia susulan tindakan Saifuddin menyatakan secara terbuka penentangannya terhadap Muhyiddin pada Oktober tahun yang sama.

Dalam kenyataannya hari ini, Saifuddin menegaskan bahawa lembaga disiplin hanya wajar membuat keputusan selepas meneliti keterangan Muhyiddin.
Dia menegaskan masih terdapat pelbagai isu dan persoalan yang ingin dibangkitkannya kepada lembaga tersebut, yang memerlukan jawapan daripada Muhyiddin.
"Sekiranya jawapan-jawapan yang diberikan oleh Tan Sri Presiden terhadap persoalan-persoalan dan isu-isu tersebut adalah affirmative, maka tindakan saya mencadangkan beliau untuk melepaskan jawatan Presiden Bersatu Malaysia bukanlah menjadi sesuatu perkara yang boleh dianggap menyerang Presiden ataupun menjejaskan imej parti,” tegasnya.
‘Konflik kepentingan’ dalam lembaga disiplin
Selain menuntut Muhyiddin memberikan keterangan, Saifuddin berkata dia turut meminta dua ahli jawatankuasa lembaga disiplin menarik diri daripada mengendalikan prosiding kesnya, kerana sikap berpihak mereka didakwa menimbulkan ‘konflik kepentingan’.
Dua individu tersebut, Radzi Manan dan Sasha Lyana Abdul Latif, katanya, masing-masing mempunyai kaitan dengan pemimpin kanan parti, Ahmad Faizal Azumu dan Azmin Ali, yang merupakan penyokong kuat kepimpinan Muhyiddin.

Selain itu, Saifuddin berkata dia turut menuntut supaya lembaga disiplin mendedahkan identiti individu yang membuat aduan terhadapnya, bagi memastikan bahawa pihak pengadu, penyiasat dan pendakwa dalam kesnya adalah tiga pihak yang berbeza.
Menurut Saifuddin, lembaga disiplin tidak menunaikan tanggungjawab ini, kerana semua peranan tersebut dilaksanakan oleh individu yang sama.
“Saya menyatakan bahawa hal ini adalah amat tidak adil dan berlawanan dengan prinsip natural justice dan fair trial,” katanya.
Semalam, parti itu mengumumkan secara terbuka keputusan memecat Ahli Parlimen Indera Mahkota tersebut atas dakwaan melanggar perlembagaan parti.
Saifuddin berkata dia akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.
"Sekiranya ketiga-tiga Tuntutan tersebut dipenuhi, maka saya bersedia menghadiri sesi perjumpaan seterusnya dan memberi kerjasama penuh kepada LD," katanya.
Pada Oktober lalu, Saifuddin disingkirkan daripada jawatannya sebagai pengerusi PN Pahang susulan kritikannya terhadap Muhyiddin, serta gesaannya supaya Azmin disingkirkan daripada jawatan setiausaha agung parti.
Dia turut mempertahankan kritikannya terhadap Muhyiddin dengan mengatakan bekas perdana menteri itu pernah melakukan perkara yang sama ketika Abdullah Ahmad Badawi menjadi presiden Umno.
