Pengarah pilihan raya PAS, Sanusi Md Nor, menyifatkan pemimpin Umno yang mempunyai "beban" merupakan sebab parti itu kekal dalam kerajaan perpaduan.
Walaupun Sanusi tidak menamakan individu tertentu dalam ucapannya, dia menyebut bahawa orang ramai tidak seharusnya memilih pemimpin yang membawa beban tertentu, seperti mereka yang mungkin menarik balik keputusan berisiko apabila perkara "47" dibangkitkan.
Menteri besar Kedah itu difahamkan merujuk kepada pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) yang diberikan kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pada 2023 atas 47 pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah, dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan dana Yayasan Akalbudi.
"Inilah beban bila lantik pemimpin yang ada beban. Bila kita ada salah silap, bila jadi pemimpin, bila nak buat satu tindakan yang berisiko, orang akan ungkit, (terus) patah balik. Itulah masalah bila negara ada pemimpin (yang ada beban). Rugilah.
"Pada masa akan datang jangan lantik pemimpin yang ada beban macam itu, nanti orang usik habislah, tak pergi sampai peringkat antarabangsa lagi, baru dalam negara kita, orang sebut pasal 47," kata Sanusi kepada pemberita di Alor Setar, Kedah hari ini.
Sanusi berkata demikian apabila ditanya mengenai komen Zahid semalam yang mengesahkan bahawa Umno akan kekal sebagai sebahagian daripada kerajaan perpaduan sehingga akhir penggal parlimen semasa dan pilihan raya umum ke-16.
Zahid, yang juga timbalan perdana menteri, menambah bahawa partinya tidak mengesahkan sebarang rancangan untuk menghidupkan semula gabungan lama atau penjenamaan politik yang sebelum ini gagal, memberi amaran agar tidak mengulangi kesilapan politik yang merugikan.
Dia merujuk kepada Muafakat Nasional (MN), sebuah pakatan politik longgar yang dibentuk antara Umno dan PAS pada September 2019, bertujuan untuk menyatukan undi Melayu-Islam.
Zahid berkata perkara itu telah diputuskan semasa mesyuarat biro politik Umno pada malam Isnin.

Semasa konvensyen khas Pemuda Umno hujung minggu lalu, Ketua Pemuda Umno Akmal Saleh memberitahu lebih 1,000 pemuda dan ahli veteran Umno, bersama pemimpin NGO Melayu, bahawa Zahid juga bersedia untuk menghadapi sebarang pertuduhan di mahkamah pada masa hadapan yang berkaitan dengan pembebasannya daripada 47 pertuduhan rasuah.
Akmal berkata, jika akar umbi parti mahu Umno meninggalkan kerajaan perpaduan dia sedia akur dan berdepan kemungkinan dituduh di mahkamah.
Bulan lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) mempertahankan keputusannya untuk memohon DNAA untuk Zahid, dengan menegaskan bahawa langkah itu mematuhi undang-undang sepenuhnya.
Dalam satu kenyataan, AGC menjelaskan bahawa permohonan DNAA Zahid pada 4 September, 2023, adalah berdasarkan keadaan pada masa itu, termasuk keperluan untuk siasatan lanjut.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan laporan bahawa peguam Syed Amir Syakib Arsalan Syed Ibrahim telah memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk mendapatkan, antara lain, perintah mandamus bagi memaksa peguam negara dan pendakwa raya melengkapkan siasatan dan semakan mereka mengenai DNAA.
Pelbagai pihak, termasuk Gabungan Advokasi Rakyat Malaysia (Haram), sebelum ini telah mengecam keputusan itu yang didakwanya sebagai pembebasan "jerung" daripada kes rasuah di bawah pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
