Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peletakan jawatan Muhyiddin hanya sah lepas diterima mesyuarat PN
Diterbitkan:  Jan 7, 2026 3:24 PM
Dikemaskini: 8:27 AM

Peletakan jawatan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi Perikatan Nasional masih belum disahkan secara rasmi, menurut pengarah pilihan raya gabungan itu, Sanusi Md Nor.

Sanusi, yang juga Menteri Besar Kedah, berkata walaupun Muhyiddin telah mengumumkan keputusannya untuk meletakkan jawatan daripada kepimpinan PN, perkara itu hanya akan dimuktamadkan selepas pertemuan dengan pemimpin gabungan berkenaan.

"Belum tentu (peletakan jawatan Muhyiddin) sebab peletakan jawatan Pengerusi PN walaupun dia umum dan tulis surat tapi peletakan jawatan secara Perlembagaan PN mesti dibuat dalam mesyuarat.

"Jadi secara rasmi peletakan (jawatan) itu belum sah. Jadi kita tak perlu kata orang itu nak jadi pengerusi, orang ini nak kerana dia letak belum sah lagi. (Muhyiddin) Kena letak dalam mesyuarat dan diterima dalam mesyuarat maka sah peletakan itu.

"Tiba-tiba mesyuarat buat keputusan sebaliknya, maka kekal (jawatan Pengerusi PN) walaupun dia umum satu dunia (letak jawatan)," katanya kepada pemberita di Alor Setar, Kedah hari ini.

Sanusi menambah bahawa PN dijangka mengadakan mesyuaratnya dalam tempoh kurang daripada seminggu dari sekarang.

Pada 30 Dis, Muhyiddin mengesahkan hasratnya untuk meletak jawatan sebagai pengerusi PN berkuat kuasa 1 Jan.

Keputusan itu dibuat di tengah-tengah ketegangan yang memuncak antara PAS dan Bersatu, selepas pemimpin Bersatu di Perlis memulakan rampasan kuasa, yang menyebabkan PAS kehilangan kuasa ke atas kerajaan negeri dan jawatan menteri besar.

Di tengah-tengah pergolakan dalaman PN, pemimpin PAS telah mengugut sama ada untuk keluar daripada gabungan pembangkang dan meneruskan pakatan baru dengan Umno, atau mengambil alih kepimpinan PN sendiri.

Walau bagaimanapun, susulan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai pengerusi PN, keadaan menjadi reda antara kedua-dua parti, dengan keputusan Muhyddin kelihatan meredakan ketegangan apabila pemimpin PAS menggunakan nada yang lebih lembut termasuk memohon maaf kepada presiden Bersatu itu.

Sementara itu, walaupun Sanusi mendakwa peletakan jawatan berkenaan belum rasmi, Presiden PAS Abdul Hadi Awang pada 2 Dis menyatakan bahawa parti mereka bersedia untuk mengambil alih kepimpinan gabungan pembangkang, dengan menyatakan bahawa beberapa nama, termasuk nama dirinya sendiri, sedang dipertimbangkan untuk menggantikan Muhyiddin.

Walau bagaimanapun, Hadi mengakui keadaan kesihatannya tidak begitu baik, dan menekankan bahawa PAS mempunyai senarai pemimpin lain yang berkebolehan untuk jawatan itu.

Muhyiddin dan Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar, yang juga naib presiden PAS, semalam telah mengadakan "mesyuarat santai," di tengah-tengah spekulasi tentang pemimpin yang akan menjadi pengerusi PN seterusnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS