Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Akmal perlu matang terima realiti politik, kata Pemuda Umno Johor
Diterbitkan:  Jan 7, 2026 3:43 PM
Dikemaskini: 7:54 AM

Seorang pemimpin Pemuda Umno tampil memberi nasihat secara terbuka kepada ketua pergerakan itu, Dr Akmal Salleh, supaya menerima “penolakan” terhadap gesaannya agar Umno menarik sokongan kepada pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan beralih ke blok pembangkang.

Bercakap kepada Malaysiakini, Ketua Pemuda Umno Johor Noor Azleen Ambros merujuk kenyataan Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi bahawa gabungan yang diterajui Umno akan kekal dalam kerajaan Madani sehingga tamat penggal semasa.

“Bagi saya, apa yang dia (Akmal) lalui ketika ini adalah sebahagian daripada proses (politik) — sesuatu yang mematangkan dan membantu dia berkembang.

“Sebab kita tidak boleh harapkan hanya apa yang kita cakap dan kita mahu sahaja yang betul.

“Ada masanya apa yang kita rasa betul akan ditolak. Jadi kita kena bersedia untuk menerimanya,” kata Azleen, sambil menegaskan nasihat itu tidak menafikan hak Adun Merlimau berkenaan untuk berpegang pada prinsipnya.

Terdahulu hari ini, Akmal memuat naik satu mesej memberi bayangan bahawa dia berhasrat untuk “berundur”, susulan keputusan Zahid yang menolak gesaannya agar Umno keluar daripada kerajaan Perpaduan selepas mempengerusikan mesyuarat biro politik parti, malam Isnin lalu.

Dalam hantaran Facebook itu, Akmal memberi bayangan bahawa dia telah “melakukan usaha dan menyampaikan sehabis baik”

Sabtu lalu, Akmal yang mengetuai Konvensyen Khas Pemuda Umno menggerakkan ahli parti iti supaya menyokong gesaannya agar Umno bergabung dengan PAS sebagai pembangkang. Difahamkan dia membentangkan perkara itu pada mesyuarat biro politik Umno Isnin lalu.

Mengulas lanjut, Azleen hari ini menegaskan semula keputusan biro politik Umno, namun berkata ia tidak menghalang perwakilan parti daripada membangkitkan isu itu dalam perbahasan pada Perhimpunan Agung Umno hujung bulan ini.

“Dalam politik, ada naik dan turun, bermacam-macam. Jadi dia (Akmal) perlu terima hakikat bahawa inilah politik,” tambahnya.

Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden sebelum ini mengalu-alukan gesaan Akmal pada konvensyen tersebut, bersama beberapa pemimpin kanan parti termasuk Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari dan ahli jawatankuasa pusat Shahidan Kassim — yang dilihat sebagai penyokong usaha menghidupkan semula pakatan Umno-PAS, Muafakat Nasional.

Shahidan, yang juga Pengerusi PN Perlis, dalam hantaran Facebook hari ini turut memberi kata-kata semangat kepada Akmal dengan menyeru exco kerajaan negeri Melaka itu agar tidak menoleh ke belakang, sebaliknya terus bergerak ke hadapan meskipun berdepan ujian besar.

“Akmal, bila kita gerak ke hadapan, kita maju. Tidak boleh toleh belakang. Ujian Allah SWT besar. Terima dengan sabar. Insya-Allah kita menang,” kata ahli Parlimen Arau itu.

Dalam menolak gesaan Akmal, Zahid turut mengingatkan Umno secara terbuka supaya tidak lagi bekerjasama dengan PAS, dengan merujuk pengalaman pahit Muafakat Nasional agar parti itu tidak “dipatuk ular yang sama” sebanyak dua kali.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS